Budaya orang Melayu tidak boleh dipisahkan dengan ungkapan “nasib baik” sekalipun dalam berhadapan musibah.
“Hmm, dah meninggal si polan tu. Nasib baik meninggal kat hospital, bukannya kat tengah jalan,” demikian antara contoh situasi dimaksudkan.
Kalau dah orang meninggal pun masih ada nasib baiknya, apalah sangat kegagalan terbaru
Harimau Malaysia dalam kempen Piala Suzuki AFF malam tadi – ia hanyalah satu kejohanan bola sepak!
Di sebalik ramai yang menghambur kata-nista, dengan majoriti mereka menganggap kegagalan skuad bola sepak negara bukan lagi satu kehairanan – sebaliknya sudah menjadi kelaziman -- sebenarnya masih ada banyak kemujurannya.
Kita sudah terbiasa disajikan dengan yang buruk – tidak mungkin ada apa-apa yang boleh mengatasi kekalahan 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kelayakan Piala Dunia di Abu Dhabi pada 3 September 2015 -- hingga kita mudah terlupa betapa keadaan boleh menjadi lebih buruk lagi.
Di sinilah, barangkali sebagai sagu hati sendiri, kita boleh menghitung nasib baik pasukan bola sepak kebangsaan kita.
Nasib baiklah kita kalah 1-0 saja kepada Myanmar, kalau keputusannya lebih besar lagilah memalukan, tambahan pula pasukan tuan rumah turut menyertakan beberapa pemain dari pasukan belianya yang layak ke Piala Dunia FIFA Bawah 20 Tahun pada tahun lalu.
Kita bernasib baik kerana di mana Myanmar tidak mampu, kita masih boleh menampilkan pemain usia 30-an, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan Amri Yahyah, dengan ada pula yang mengharapkan gandingan Safee-Mat Yo akan berupaya mengulangi magis kempen Piala Suzuki 2010.
Juga kita bernasib baik Malaysia tidak menduduki tangga tercorot kumpulan kerana bersandarkan kemenangan 3-2 ke atas Kemboja dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan yang andainya disorot, adalah juga satu kemenangan nasib baik.
Jangan lupa juga Harimau Malaysia sudah menghitung nasib baiknya dari awal-awal lagi apabila diundi dalam Kumpulan B dan bukannya dalam Kumpulan A yang membariskan Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura.
Nasib baik juga Malaysia tidak kalah segala-galanya.
Menerusi undian jersi tercantik dalam Kumpulan B, dalam laman web rasmi Kejohanan Piala Suzuki AFF 2016 (http://www.affsuzukicup.com/2016/polls.html), jersi Harimau Malaysia diundi yang terbaik dengan 36.9 peratus, diikuti Kemboja 28.18%, Vietnam 20.21% dan Myanmar 14.7%.
Cuma, rupa-rupanya kerabat Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) yang ternyata lebih bernasib baik kerana apalah maknanya kejohanan edisi kali ini jika Harimau Malaysia -- pasukan yang ketandusan idea, miskin variasi gerakan, papa semangat dan kesungguhan serta bankrap dari segi persefahaman – turut layak dalam kelompok empat terbaik.
Namun, kita harus bernasib amat malang jika kegagalan terbaru ini tidak mencetus perubahan besar-besaran.
Dalam pada itu, kita akan terus bernasib baik andainya Piala Suzuki AFF kali ini memberikan isyarat jelas untuk angkatan pemain usia 30-an berundur daripada terus berilusikan kegemilangan silam.
Kita akan bernasib baik jika pemilihan senarai pemain pada masa depan tidak lagi menyertakan pemain yang tidak pun mampu meraih tempat dalam kesebelasan utama pasukan negeri atau kelab masing-masing.
Kita akan turut bernasib baik lagi jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia untuk berbelanja lebih sedikit untuk mendapatkan seorang jurulatih asing dengan reputasi yang boleh mengilhamkan kejayaan pada masa depan.
Malah, lebih daripada semua itu, kita akan sangat bernasib baik andai Harimau Malaysia belajar untuk tidak mengharapkan atau bergantung kepada nasib baik semata-mata.