Saya lihat ada kelompongan di jentera serangan skuad hoki negara ketika Piala Sultan Azlan Shah 2016 di Ipoh, Perak.
Firhan Ashaari, Shahril Saabah, Rashid Baharom, Ramadan Rosli, Mohd Haziq Shamsul dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi bergelut untuk menjaringkan gol padang.
Malaysia hanya mampu ledak 6 gol padang daripada keseluruhan 15 gol sepanjang kejohanan.
Ia nisbah yang buruk kerana sebuah pasukan mantap sepatutnya memiliki kemampuan sekata untuk menjaringkan gol padang dan pukulan sudut penalti.
Kapten yang juga pakar pukulan sudut penalti utama negara, Muhammad Razie Abd Rahim pula akan berehat sembilan bulan kerana menyertai kursus latihan asas polis untuk bergelar inspektor.
Jadi, siapa yang mampu mengisi kekosongan itu?
"Saya sudah insaf. Saya mahu kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan. Saya sudah banyak belajar daripada hukuman ini".
Itu komen penyerang sensasi negara, Faizal Saari ketika masih menjalani penggantungan enam bulan kerana ponteng sesi latihan skuad kebangsaan.
Dia akan tamat hukuman itu pada 20 Jun depan sekali gus akan terlepas Piala Razak di Kuala Lumpur bermula hujung Mei.
Biasanya, pengendali negara akan memilih pemain baru menerusi kejohanan hoki tertua negara itu.
Jadi, bagaimana Faizal mahu membuktikan kepada pengendali negara, Stephen van Huizen bahawa dia masih hebat seperti dulu?
Tambahan pula, Malaysia akan menyertai kem latihan dan aksi persahabatan di Jepun pada Jun serta Liga Australia (Julai) - nampaknya peluang tipis untuk Faizal.
Cerita sama untuk seorang lagi bekas penyerang negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil.
Dia tidak digantung tetapi gagal memikat Stephen untuk berada dalam kem kebangsaan.
Penyerang Terengganu Hockey Team itu kemudian berkelana menyertai Liga Hoki Scotland dan membuktikan masih lagi antara penggempur terbaik negara.
"Saya harap dipilih semula. Saya yakin masih mampu menabur bakti untuk Malaysia sekurang-kurangnya dengan berkongsi pengalaman bersama penyerang muda," kata Tengku.
Realitinya, saya anggap Faizal dan Tengku masih lagi gandingan penyerang terbaik negara.
Walaupun tidak berada dalam skuad utama, saya fikir sekurang-kurangnya mereka patut berada dalam skuad pembangunan kendalian Wallace Tan.
Biar mereka bersaing untuk merebut kembali posisi yang hilang dan jika berjaya, ia bukti bahawa mereka benar-benar mahu kembali mewakili Malaysia.
Hukuman sudah dijatuhkan, pengajaran sudah dikutip...biarlah harimau berkembar ini kembali ke sarang mereka.