Skip to main content

Rencana

Harimau berguru dengan singa

belgium161218_0.jpg
Tahniah kepada skuad hoki Belgium muncul juara Piala Dunia 2018 selepas menewaskan Belanda, 3-2 menerusi penalti shoot out.

Ternyata, pelan jangka masa panjang The Red Lions membuahkan hasil sejak buat penampilan sulung Piala Dunia 1973 di Belanda.

Ironinya, rekod Malaysia di Piala Dunia lebih baik berbanding Belgium kerana jaguh Eropah itu lebih banyak berlegar-legar di peringkat kumpulan.

Kebangkitan mereka bermula pada 2014 apabila raih tangga kelima.

Kejayaan itu permulaan terhadap pelan pembangunan sejak 2010 sekaligus membuatkan Belgium tidak menoleh ke belakang lagi.

Mereka raih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 diikuti naib juara Piala Dunia Remaja, tahun sama sekaligus menyaksikan tujuh pemain muda dibawa masuk.

Saya kagum dengan keterbukaan pengendali Belgium, Shane Mcload yang berani mengetengahkan pemain muda termasuk ketika mengambil penalti shoot out sebelum menjulang Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.

Pengalaman membimbing beberapa kelab di Belgium juga memudahkan Mcloed untuk mengenalpasti bakat muda yang diperlukan untuk mengimbangi pengalaman pemain senior.

Secara purata, umur pemain Belgium 26 tahun sementara Malaysia 30 tahun.

Malah, hanya Malaysia dan Sepanyol tidak memiliki pemain 21 tahun dan ke bawah sekaligus tidak layak untuk dipertimbangkan Anugerah Pemain Muda Terbaik Piala Dunia 2018.

Saya mengetahui perkara ini apabila dilantik sebagai panel pemilih anugerah Piala Dunia 2018.

Kembali kepada Belgium, saya jangka mereka akan memintas Argentina di ranking kedua dunia sementara Malaysia akan dipintas Pakistan untuk jatuh tangga ke-13 selepas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengemaskini mata terbaru dalam tempoh terdekat.

Saya harap Ketua Jurulatih Hoki Negara, Roelant Oltmans menerima beberapa cadangan daripada bekas pemain dan pemerhati di Malaysia mengenai rombakan pasukan dan program yang lebih tersusun untuk menghadapi Final Siri Hoki di Kuala Lumpur (April) diikuti kelayakan Olimpik, Oktober tahun depan.

Kita tiada jalan lain kecuali melepasi kedua-dua halangan ini biarpun ada kelebihan ranking dunia untuk melepasi Final Siri Hoki di Kuala Lumpur.

Apa yang menarik, Malaysia awal-awal lagi sudah menetapkan program latihan dan aksi persahabatan di Eropah termasuk di Belgium.

Nampaknya selepas tersingkir seawal peringkat kumpulan Piala Dunia, Harimau akan berguru dengan Singa Eropah. 

Moga berjaya Malaysia!

Advertisement

Must Watch Video