Skip to main content

Rencana

Haria Penang Haria, Hampa tetap Nindia!

penang.jpg
Berakhir sudah minggu yang penuh gelora dalam saingan Liga Super dan juga Liga Perdana. Mana tidaknya penantian peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan pasukan mana yang akan kekal, turun dan jatuh dalam liga, akhirnya terjawab.

Tetapi cerita panas dan penuh mengejutkan pasti membabitkan skuad bimbingan Manzoor Azwira Abd Wahid, iaitu Pulau Pinang.

Sebelum teruskan coretan, bagi penulis, Manzoor telah melakukan yang terbaik selaku jurulatih dengan rekod cemerlang skuad Pulau Pinang di bawah kendaliannya cipta sensasi tersendiri apabila meraih mata dalam kesemua perlawanan tanpa keciciran hingga membawa kepada saat penentuan untuk mencari pasukan ke Liga Super.

Di kala tumpuan terarah kepada UiTM, Negeri Sembilan dan PDRM, Pulau Pinang membuat ramai peminat bola sepak tanah air seolah-olah bersama meraikan kejayaan mara ke Liga Super selepas menundukkan PDRM di Paya Rumput.

Namun, ia hanya bertahan 24 jam sebelum "FIFA" keluarkan arahan.

Penulis berada di Melaka pada malam aksi terakhir liga. Persoalan yang bermain di kotak pemikiran penulis, kenapa dari awal tidak dimaklumkan? 

Tidakkah ada sedikit perasaan simpati pada Manzoor dan anak buah dan paling penting, kepada penyokong setia Haria Penang Haria? 

Seterusnya pula penulis mula fikir, FAM dan MFL perlu siap sedia untuk terima tembakan berterusan di media sosial.

Namun, selepas penulis ketahui cerita sebenar, FAM dan MFL sudah jalankan tugas mereka. Mereka tidak bersalah.

Penulis nak ambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah buat keluarga bola sepak Pulau Pinang yang nyata lebih matang dan profesional menangani isu ini. Reda dan mahu 
buktikan sesuatu, khususnya dalam saingan Piala Malaysia.

Kebanyakan penyokong yang menghubungi penulis menerusi WhatsApp dan juga di media social, akur dan mahu bukan sahaja FAP, malah bola sepak Malaysia belajar agar lebih serius dalam setiap permasalahan bola sepak, tidak kira sekecil mana sekalipun.

Jika ia sudah sampai ke pengetahuan FIFA selaku badan induk bola sepak dunia, risikonya cukup tinggi.

Tahniah juga kepada FAP yang berusaha membayar denda kepada Lobo, pemain import yang pada satu ketika jadi pujaan segelintir peminat Pulau Pinang. Kesudahannya, Lobo juga pastikan Pulau Pinang kekal dalam Liga Perdana.

Kesimpulan yang dapat penulis buat, Pulau Pinang tetap terbaik musim ini. Bak kata orang utara, "Hampa tetap Nindia".

Piala Malaysia masih ada untuk buktikan amukan Harimau Kumbang bukan biasa-biasa. Biar kekal dalam Liga Perdana, setidak-tidaknya ada masa untuk mencari dana dan juga persiapkan pasukan dalam misi muncul juara Liga Perdana 2020.

Buat penyokong Pualau Pinang, penulis akhiri dengan serangkap pantun:

Nasi Kandaq Kayu
I Love U,
Petang makan cendoi
Penang memang sempoi.

Sekian Jumpa Lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video