Skip to main content

Rencana

Harap tuah di Kunshan

26731522_1537841866312572_8226164938745166518_n.jpg
Skuad negara akan meninggalkan bumi Changshu pada hari ini untuk meneruskan perjalanan ke Kunshan yang akan menjadi destinasi seterusnya buat Malaysia dalam Kejohanan AFC B-23 di China ini.
 

Skuad muda negara akan melengkapkan aksi terakhir kumpulan C menentang naib juara edisi pertama kejohanan pada 2013, Arab Saudi, di Stadium Kunshan, Selasa depan selepas mengharungi dua perlawanan bertemu Iraq dan Jordan.
 
Sememangnya, ujian getir sekali lagi menanti anak buah Datuk Ong Kim Swee memandangkan lawan miliki reputasi hebat selaku pasukan handalan Asia selain punyai barisan mantap berdasarkan aksi dua perlawanan pasukan itu.
 
Tiada pilihan, Malaysia yang kali pertama beraksi di pusingan akhir kejohanan ini perlu mencatatkan kemenangan untuk mencipta sejarah tersendiri melangkah ke suku akhir, namun akan tersingkir jika berlaku sebaliknya.
 
Berdasarkan pemerhatian penulis yang mengikuti perkembangan pasukan negara di kejohanan ini, para pemain sudah mula menunjukkan keupayaan sebenar berdasarkan persembahan terpuji ketika perlawanan menentang Jordan pada Sabtu.
 
Meskipun terlebih dahulu ketinggalan, mereka tenang untuk bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Safawi Rasid dan hampir-hampir mengutip tiga mata penuh susulan dua percubaan melalui Muhammad Akhyar Rashid dan Matthew Davies terkena tiang gol.
 
Ia jelas sekali berbeza daripada persembahan mereka dalam aksi pertama bertemu Iraq apabila pemain gagal beraksi dengan penuh yakin dan akhirnya dibelasah lawan gara-gara kesilapan sendiri pemain.
 
Penulis secara peribadi berbangga dengan semangat juang tinggi pemain yang tidak mengenal erti putus asa selepas mereka langsung tidak diberi harapan untuk menyaingi Jordan berikutan ditimpa kekalahan besar dalam perlawanan pertama.
 
Ternyata usaha keras mereka memberi pulangan lumayan dengan skuad negara masih bernyawa dalam kejohanan ini dan perlawanan terakhir akhirnya menjadi penentu sebenar peluang skuad negara ketika ada suara-suara sumbang pasukan ini akan tersungkur awal.
 
Apa sekali pun, perlawanan terakhir berdepan Arab Saudi perlu dimanfaat sebaik mungkin dan penulis ibaratkan ia bukan sahaja misi hidup mati malah misi menjaga maruah kerana kita sekali lagi perlu buktikan bukan lagi pasukan lemah! 
 
Ketika menulis artikel ini, penulis berada dalam kereta sapu menuju ke bandar Kunshan dan apa yang penulis dapat kongsikan cuaca sedikit panas dan terdetik di hati ini apakah keadaan cuaca ini akan memberi tuah kepada Malaysia?
 
Penulis tidak pasti adakah ia betul-betul dapat membantu tetapi penulis amat mengharapkan tuah memihak skuad negara di Kunshan kerana bukan sahaja Malaysia mampu ke suku akhir tetapi ia juga dapat menambah elaun penulis untuk tugasan di China ini. 
 

Advertisement

Must Watch Video