RENCANA
Haji Wazi dah cuci tangan
Saya baru pulang daripada menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi di tiga buah negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan berakhir di Kuala Lumpur. Jarak perjalanan meliputi sejauh 1,400 kilometer keseluruhannya dan sangat memenatkan.
Tetapi persinggahan saya di Kelantan menemukan saya dengan bekas jaguh perlumbaan Cub Prix negara, Haji Wazi Abdul Hamid. Perjumpaan secara tidak sengaja di sebuah warung terkenal di Kota Bharu itu menamatkan penantian saya untuk berjumpa Wazi selepas dia pulang dari menunaikan ibadah haji dengan bermotosikal.
Perwatakan Wazi jauh berbeza daripada dahulu, dengan kopiah tidak lekang menutupi rambutnya. Watak peramahnya tidak pernah berubah sejak mengenali bekas pelumba berasal dari Ipoh, Perak ini.
Iklan
Kami berbual panjang mengenai konvoi bermotosikal beliau bersama lima rakan menunaikan ibadah Haji. Banyak yang saya pelajari daripada pengalaman yang dikongsi Wazi. Malah dia juga sudah menjelajah ke seluruh negara untuk berkongsi pengalamannya kepada generasi muda.
Topik kemudiannya bertukar tentang sukan permotoran negara. Wazi nyata seorang yang berjaya dalam perlumbaan motosikal. Beliau pernah muncul Juara Asia kategori 125CC pada tahun 1995, 1996 dan 2000.
Bekas pelumba berusia 45 tahun ini juga merupakan juara sirkit kebangsaan pada 2004 & 2005. Pembabitan Wazi dalam sukan permotoran diteruskan dengan penubuhan pasukan Wazi Motor Racing dalam kategori perlumbaan CP115, Kejuaraan Cub Prix Malaysia.
Walau bagaimanapun Wazi nekad untuk tidak lagi berkecimpung dengan dunia perlumbaan motorsikal selepas pulang daripada menjayakan misi berkonvoi yang dikenali sebagai Ride to Hajj pada Julai lalu.
Wazi kini lebih cenderung untuk berbakti kepada golongan remaja dengan perkongsian pengalamannya sepanjang konvoi ke Kota Mekah. Di akhir pertemuan di Kota Bharu itu, Wazi turut melahirkan hasrat untuk memberikan tunjuk ajar kepada penunggang motosikal mengenai aspek keselamatan jalan raya, seperti yang pernah dilakukannya pada 2007 sehingga 2009 dahulu.
Namun untuk kembali ke litar perlumbaan walaupun sebagai pemilik pasukan - tidak sekali!
Must-Watch Video