Skip to main content

Rencana

Giliran The Tigress tunjuk belang

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

60355673_1921152697990271_4605736393505767424_o.jpg
Selepas skuad hoki lelaki negara menamatkan Kejohanan Pusingan Akhir Siri Dunia FIH di Kuala Lumpur sebagai naib juara awal bulan ini, kini giliran pasukan wanita pula mengikut jejak langkah barisan anak buah Roelant Oltmans itu.

Demi negara, skuad hoki wanita terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana perlu melakukan persiapan rapi sebelum menghadapi kejohanan sama dengan lokasi yang berbeza di Belfast, Ireland Utara pada 8 hingga 16 Jun ini.

The Tigress yang berada di ranking ke-22 dunia ketika ini berhadapan cabaran sukar apabila perlu membuktikan prestasi cemerlang bagi merebut kedudukan dua terbaik dalam kejohanan yang membabitkan lapan negara itu untuk mengesahkan tiket ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, tentunya meletakkan sasaran untuk pasukannya menyerlah dalam aksi kelayakan nanti bagi memastikan misi ke Sukan Olimpik Tokyo tahun hadapan tercapai, sekali gus menjadi hadiah termanis sebelum nasibnya ditentukan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berikutan kontraknya bakal berakhir Disember depan.

"Saya sudah empat tahun mengemudi skuad wanita negara dan saya amat dahagakan kejayaan dengan pasukan ini. Selalunya, kami terlepas peluang-peluang kecil sahaja," jelasnya.

Bagaimanapun, selepas lima siri perlawanan persahabatan menentang India bulan lalu, Dhaarma optimis skuad kendaliannya mampu menggalas tanggungjawab ini dan dia juga mengakui ada peningkatan dalam prestasi The Tigress selama empat tahun mengemudi pasukan itu.

Apatah lagi pengendali itu menyenaraikan lapan pemain tonggak yang pernah mengembangkan karier mereka dalam Liga Eropah, antaranya penjaga gol The Tigress, Farah Ayuni Yahya, Hanis Nadiah Onn dan Raja Sharina Raja Shabuddin.

Ketika ini, seramai 20 pemain terpilih menyertai skuad kendalian Dhaarma itu, namun dua pemain akan digugurkan selepas saingan tiga penjuru di Itali di antara Malaysia, tuan rumah dan Sepanyol sebelum berlepas ke Scotland untuk aksi pemanas badan terakhir.

Kemudian hanya 18 pemain terbaik akan dibawa ke Ireland untuk dipertaruhkan dalam Kumpulan A bersama tuan rumah yang berada di ranking kelapan dunia, Republik Czech di tangga ke-19, diikuti dengan Singapura yang berada di kedudukan tercorot.

Apapun, saya mengucapkan "All the best" buat The Tigress dan berharap kejayaan memihak  mereka setanding dengan usaha dan latihan ketika bulan Ramadan yang bermula seawal jam tiga pagi.   

Advertisement

Must Watch Video