Skip to main content

Rencana

Gelagat Neymar terus dipersendakan

niama-(5).jpg
Imej-imej Neymar dalam Piala Dunia setakat ini yang meninggalkan ingatan mendalam ialah perilaku seorang pemain yang mengalami gangguan emosi keterlaluan.

Menenggelami kelincahannya yang sering diuar-uarkan, sebaliknya Neymar diingati gara-gara lakonan persis seorang pemenang Oscar, tindak-balas yang dibuat-buat dan pada penghujungnya pula tangisan umpama seorang kanak-kanak yang kehilangan gula-gulanya.

Namun, daripada kaca mata pengurus Brazil, Tite, ia menggambarkan tekanan berat yang ditanggung pemain itu, satu simbol kepada pertarungan tiga setengah bulan untuk pulih daripada kecederaan yang berkesudahan dengan satu kemenangan dan satu gol ketika berdepan Costa Rica, kelmarin.

Dalam pada itu, terdapat satu lagi gambaran yang mendedahkan tahap emosional Neymar.

Kira-kira 15 minit sebelum Brazil menyelamatkan kempen Piala Dunianya dengan dua gol dalam masa kecederaan, Neymar dilihat melepaskan geramnya terhadap seorang pemain Costa Rica yang dirasakannya melengah-lengahkan masa.





“Puta,” Neymar dilihat menuturkannya di lensa kamera seperti dilaporkan Independent Online, yang bermaksud “sundal” dalam bahasa Portugis.

 Di Brazil, Piala Dunia mewakili lebih daripada sekadar bola sepak, sebaliknya ia berkisar kepada maruah dan harga diri. Tiada siapa yang berasakan lebih daripada itu berbanding pemain-pemain sendiri.

Jadi, ia adalah hari yang amat penting buat Neymar dan ia benar-benar terserlah. Dia dilihat jauh terlalu penting terhadap apa yang dilakukan pasukan Brazil ini untuk kebaikan mereka sendiri.

Apa yang menghairankan, dia bukan pun pemain terbaik skuad Selecao ini – penghormatan itu kini milik Philippe Coutinho – di samping Tite turut memiliki Gabriel Jesus, Roberto Firmino dan Willian untuk diharapkan.

Brazil cukup bagus sebenarnya untuk memenangi Piala Dunia ini tanpa menyandarkan seluruh harapan mereka kepada pemain termahal dunia itu. Tapi bola sepak Brazil memerlukan tiangnya sendiri dan bagi generasi ini, ia adalah Neymar.





Malangnya, permainannya sangat jelek. Tingkah-lakunya mengecewakan dengan kerap mempertikaikan keputusan pengadil.

Daripada satu sudut, dia seperti Cristiano Ronaldo – tidak akan gembira jika ceritanya bukan berkisar mengenai dirinya sahaja.

Tetapi persamaan di antara kedua-duanya berakhir setakat itu. Sambil Ronaldo cemerlang memacu Portugal yang diketuainya, Neymar baru hendak bertatih buat Brazil.

Ditanya tangisan Neymar mungkin sedikit terlalu awal dalam kejohanan ini, Tite menjawab: “Saya fikir kegembiraan dan kebanggaan mewakili negara adalah terlalu besar, jadi dia berasakan tanggungjawab, kegembiraan, tekanan dan dia mempunyai keberanian untuk menunjukkannya.

“Ingat berapa lama dia terkeluar. Dia perlukan masa untuk bangkit ke puncak dan dia akan sampai ke sana.”

Ada kalanya timbul persoalan jika Neymar menidakseimbangkan Brazil, jkalaupun tidak secara taktikal, secara emosional, dan sebahagian masalahnya dia berlebih-lebihan mahu membuktikan dirinya.

Namun, Brazil bertegas bahawa dia akan meningkat kembali. Mereka memikirkan mereka memerlukannya pada ketika Piala Dunia kali ini pastinya memerlukan mereka sebagai sebuah pasukan pilihan.
 

Advertisement

Must Watch Video