Skip to main content

Rencana

Gareth Bale Jadi Sandaran

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

gareth-bale.jpg
Pemergian bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, ke Juventus dengan nilai perpindahan 100 juta Euro dilihat sebagai satu peluang terbaik buat pemain kelahiran Wales, Gareth Bale, kembali menyinar di Santiago Bernabeu. Hal ini turut dipersetujui pengendali baru Real Madrid,Julen Lopetegui, yang percaya Bale mampu kembali bangkit pada prestasi terbaik apabila saingan bermula nanti.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa Bale kesal kerana pemergian dua orang penting iaitu Zinedine Zidane dan Cristiano Ronaldo sehingga beliau sendiri berkira-kira mahu berhijrah ke pasukan lain. Namun, keadaan mula berubah selepas menjalani latihan bersama Lopetegui. Kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mengemudi jentera serangan Real Madrid dilihat menjadi tonik terbaik buat Bale.

Untuk rekod, Bale menyertai Real Madrid pada 2013 dan telah beraksi sebanyak 126 perlawanan. 70 gol berjaya diledak tetapi yang paling segar sudah tentu gol pada final Liga Juara-Juara Eropah ketika menentang Liverpool baru-baru ini.

Penulis percaya, andai dahulu Bale sering dibayangi dengan kelibat Ronaldo dan kini usia beliau sudah pun 29 tahun, ini merupakan waktu paling tepat buat Bale untuk mencuri segala tumpuan di atas padang dengan aksi memukau. Larian deras, gelecekan pantas dan tendangan yang padu merupakan senjata utama untuk menewaskan pihak lawan.

Tambahan pula, Real Madrid masih mencari beberapa pemain baru untuk dibeli dan antara nama yang sering disebut-sebut adalah Eden Hazard, Thibaut Courtois dan Kylian Mbappe. Terbaru, ada laporan yang mengatakan bahawa Willian turut menjadi sasaran Real Madrid untuk membantu memperkuatkan pasukan menjelang sepak mula pada pertengahan Ogos nanti. 

Ini sudah tentu menjadikan Bale semakin bersemangat untuk membantu Real Madrid mencapai prestasi yang terbaik.

Advertisement

Must Watch Video