Skip to main content

Rencana

Gandingan Bischoff-Heyman bawa harapan baharu di WWE

bischoff-heyman-1.jpg
Apabila berada dalam situasi genting, pelbagai langkah dan strategi terpaksa diatur. Segala sengketa lalu juga perlu dilupakan seketika dan terus melangkah ke hadapan.

Mungkin itulah yang cuba dilakukan oleh Vince McMahon. Agak mengejutkan apabila secara rasminya, WWE telah menamakan dua individu yang pernah menjadi pesaing terdekatnya, untuk mengemudi acara Raw dan Smackdown.

Dalam kenyataan rasmi WWE pada Jumaat, dua figura yang tidak asing lagi buat peminat gusti profesional iaitu Paul Heyman dan Eric Bischoff telah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif di mana Heyman akan mengetuai pasukan kreatif di Raw manakala Bischoff pula akan menggalas tanggungjawab yang sama di Smackdown.

Kedua mereka akan melapor terus kepada Pengerusi dan CEO WWE iaitu Vince McMahon dan secara tidak langsung, Heyman dan Bischoff akan bertanggungjawab untuk memastikan siaran Raw dan Smackdown terus kekal relevan dan menjadi siaran wajib tonton para peminat gusti setiap minggu.

Ia sekaligus seakan membawa kita kembali ke tahun 2002 sehingga 2005 ketika bermulanya pemecahan jenama Raw dan Smackdown di mana ketika itu, Bischoff telah dilantik sebagai Pengurus Besar di Raw manakala Paul Heyman pula di Smackdown. Namun setakat laporan ini ditulis, peranan kedua-dua individu ini akan lebih fokus kepada belakang tabir dan bukannya karakter TV seperti yang dilihat sebelum ini.

Perlantikan Heyman dan Bischoff ini sangat tepat pada masanya. Ketika mana WWE kini bergelut dengan jumlah rating yang agak rendah untuk program-program TV nya, mereka perlukan sedikit tujahan dari segi kreativiti dan strategi ampuh untuk memastikan para peminat kekal setia bersama WWE. Tambahan pula para peminat gusti kini mempunyai lebih banyak pilihan seperti AEW (All Elite Wrestling) yang semakin menyinar serta NJPW (New Japan Pro Wrestling) yang kini telah melebarkan empayar mereka ke Amerika Syarikat.

Pengalaman Heyman dan Bischoff sebagai mastermind dalam industri gusti profesional dan sukan hiburan tidak perlu dipertikaikan. Kedua mereka pernah menjadi musuh ketat dan pesaing utama kepada Vince McMahon ketika Attitude Era pada lewat 90an.
 
Eric Bischoff yang merupakan Naib Pengerusi Eksekutif WCW (World Championship Wrestling) nyaris membuatkan Vince gulung tikar. Cetusan idea dan kontroversi yang diilhamkan sehingga terciptanya gagasan nWo (New World Order) membuatkan rancangan WWE Monday Night Raw tewas selama 2 tahun kepada WCW Monday Nitro. Tidak cukup dengan itu, Bischoff sentiasa tampil dengan idea-idea di luar kotak seperti memperkenalkan divisyen Cruiserweight di WCW dan mencipta karakter Goldberg yang terus menjadi fenomena sehingga ke hari ini.


Terkenal sebagai seorang yang berpandangan jauh, Bischoff diberi kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang terbaik di WCW. Beberapa bintang lagenda yang sebelum itu mencipta nama di WWE, berjaya dipujuknya untuk menyertai WCW. Hulk Hogan, Randy “Macho Man” Savage, Kevin Nash, Scott Hall, Bret “Hitman” Hart dan ramai lagi terliur dengan tawaran Bischoff dan sanggup ‘melompat kapal’ dengan meninggalkan bekas majikan mereka di WWE.

Justeru, sebaik sahaja WCW terpaksa tutup kedai pada Mac 2001, Vince McMahon membuat kejutan apabila melantik bekas musuhnya iaitu Eric Bischoff untuk menjawat jawatan Pengurus Besar Raw pada Jun 2002. Semua atas kapasiti Bischoff yang mempunyai idea yang bernas dan mampu memberikan yang terbaik kepada sesiapa yang memerlukan khidmatnya.

Jika Bischoff berseteru dengan Vince melalui WCW, apa kurangnya dengan Paul Heyman yang menjadi nakhoda di ECW (Extreme Championship Wrestling). Biarpun ECW agak berskala kecil dan tidak mampu bersaing dari segi produksi dengan WWE dan WCW, namun organisasi yang dipimpinnya ini mempunyai jumlah pengikut dan peminat yang bukan kecil jumlahnya.


Heyman membawakan sesuatu yang menongkah arus apabila ECW memperkenalkan stail gusti yang lebih ganas dan lasak. Berbeza dengan WWE dan WCW, acara ECW yang berlangsung di arena yang lebih kecil dilihat lebih dekat dengan peminat. ECW lebih agresif dan provokatif dengan aksi-aksi gusti berani mati serta darah yang berjejeran dalam setiap program TV dan pay per view mereka.

Di samping memperkenalkan ECW, Heyman juga merupakan seorang individu yang mampu menukarkan seorang penggusti biasa menjadi seorang bintang besar dalam industri. Sejak dari zamannya mengemudi ECW, banyak nama yang sebelum itu kurang dikenali, menjadi hangat dan nama mereka meniti di bibir para peminat gusti. Mengambil contoh para penggusti bersaiz kecil dan sederhana seperti Eddie Guererro, Dean Malenko, Rey Mysterio, Chris Benoit dan ramai lagi. Kesemua mereka bermula di ECW dan hasil gilapan Heyman, organisasi lain mula membuka mata dan menawarkan kontrak untuk mereka.

Itu tidak termasuk lagi bintang-bintang ECW Originals seperti Rob Van Dam, Sandman, Sabu, Tommy Dreamer, New Jack, Dudley Boyz dan beberapa nama lain. Semua mereka ini tidak mampu untuk menempatkan diri di organisasi seperti WWE dan WCW jika tidak kerana ECW dan bimbingan Heyman.

Lihat sahaja kepada CM Punk. Hanya Paul Heyman sahaja pegawai WWE ketika itu yang meletak sepenuh kepercayaan dan keyakinan bahawa Punk mampu untuk menjadi bintang utama setaraf seperti John Cena dan Batista. Heyman ibarat mampu menilik masa depan dan mana-mana penggusti yang berada di bawah sayapnya, mampu untuk pergi jauh dan bergelar lagenda dalam industri.

Dengan perlantikan Paul Heyman di Raw dan Eric Bischoff di Smackdown, diharap mampu membawa perubahan kepada lanskap WWE sedia ada. Dua entiti dan buah fikiran berbeza dari Heyman dan Bischoff buat kedua jenama ini juga berkeupayaan untuk Raw dan Smackdown mempunyai identiti unik dan tersendiri dan tidaklah hanya bintang-bintang yang sama sahaja muncul dalam setiap rancangan setiap minggu atas lesen wild card rules.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Super Showdown pada 7 Jun dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.

 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Advertisement

Must Watch Video