Skip to main content

Rencana

Futsal tembusi pasaran Thailand!

300616-futsal-malaysia.jpg
Baru-baru ini kecoh apabila skuad bola sepak negara gagal menyerlah dalam dua daripada tiga aksi persahabatan ketika siri Jelajah Oceania susulan tewas 0-2 menentang Papua New Guinea dan sekadar seri 1-1 bertemu Fiji.

Peminat melepaskan geram di laman media sosial dengan rata-ratanya melemparkan kritikan bersifat emosional gara-gara skuad negara tidak mampu mengatasi pasukan yang berada di ranking lebih rendah berbanding Malaysia.

Inilah yang terjadi apabila fokus hanya diberikan kepada bola sepak - situasi kritik-mengkritik seolah sudah menjadi budaya di sini walaupun umum menyedari hakikat sebenar bola sepak Malaysia.

Namun, ramai pula tidak menyedari tentang situasi positif bagi futsal yang dianggap 'adik' kepada sukan bola sepak apabila kepakaran anak tempatan ditagih kelab Thailand, negara yang semakin gah dalam futsal mahupun bola sepak di rantau ini.

Bekas pemain negara Chiew Chun Yong telah dilantik menjadi jurulatih pasukan Victory City FC yang bersaing dalam pusingan kelayakan Liga Futsal Thailand bersama dua pemain Khairul Effendy Baharin dan Fadzil Karnim sebagai pemain import pasukan berkenaan.

Pelik apabila negara jiran mengiktiraf bakat anak tempatan tetapi sebaliknya di Malaysia. Jika mereka tahu kita masih tidak menganjurkan liga tahun ini, ia memang perkara yang memalukan apabila seolah pemain kita merempat mencari rezeki di tempat orang.

Tetapi, tidak mengapalah bukan senang juga untuk mendapat tawaran beraksi di Liga Thailand. Apa sekalipun, tahniah kepada Coach Yong, Khairul Effendy yang mesra dipanggil Ayon dan Fadzil kerana berjaya memastikan Victory City FC memenangi aksi kelayakan untuk layak ke saingan liga divisyen 1 Thailand.

Anda memang layak mendapat pujian kerana memastikan futsal Malaysia bukanlah cap ayam. Tahniah kerana berjaya menembusi pasaran Thailand!

Advertisement

Must Watch Video