Skip to main content

Rencana

Football without fans is nothing

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

stadium-lengang.jpg
Itu ungkapan yang sering disebut oleh warga bola sepak dunia terutama individu yang berada di atas padang, iaitu pemain.

Penyokong sememangnya menjadi nadi utama setiap pasukan bagi menyemarakkan semangat pemain untuk beraksi selain mewarnai suasana dan atmosfera menerusi sorakan padu yang diberikan sepanjang perlawanan.

Namun, kerancakan dan kemeriahan bola sepak global termasuk Malaysia terjejas apabila aksi tanpa penonton mula dikuat kuasakan gara-gara Covid-19.

Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa aksi Liga Super dan Liga Perdana minggu ini akan berlangsung tanpa penyokong susulan kebimbangan penularan wabak berkenaan.

Kesemua aktiviti dan perlawanan bola sepak anjuran FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ditangguhkan bermula Isnin ini demi kepentingan dan kesejahteraan semua pihak khususnya rakyat Malaysia.

Walaupun penyokong kecewa kerana tidak dapat menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi, penulis berpendapat ia langkah tepat daripada FAM dan MFL berdasarkan keadaan semasa.

Perkembangan itu juga menyaksikan Malaysia mengikut langkah pencegahan diambil Thailand, Jepun, Korea Selatan dan China yang sudah menangguhkan liga bola sepak masing-masing dalam usaha mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Liga Itali, Serie A lebih memilih penundaan perlawanan di wilayah terbabit berbanding dilangsungkan dalam stadium kosong dan 10 perlawanan telah pun ditunda selain dua aksi separuh akhir Piala Itali .
Bagaimanapun, selepas mesyuarat kelab dan wakil Serie A sebelum ini, ketua eksekutif Inter Milan, Giuseppe Marotta berkata, beraksi tanpa penonton satu-satunya cara menamatkan kempen Serie A musim ini.

Penulis tidak menolak kemungkinan situasi itu juga akan berlaku dalam saingan Liga Malaysia musim ini demi kebaikan semua pihak sekalipun kita terpaksa menerima hakikat bahawa, "Football without fans is nothing".

 

Advertisement

Must Watch Video