RENCANA
Felda United lebih menyerlah musim 2018
Kegagalan pasukan Felda United FC bersaing dalam saingan Liga Super 2018 disebabkan masalah teknikal ketika membuat permohonan lesen kelab daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tidak menghalang pengurusan Felda United untuk terus memberi fokus untuk memantapkan pasukan.
Keputusan cemerlang dan reputasi yang baik di bawah kendalian ketua jurulatih, B. Sathianathan, yang mengambil alih pasukan pada pertengahan Liga Super 2017 sehingga menduduki tangga ketiga itu menggambarkan bahawa pasukan Felda United ini akan lebih mantap dan digeruni.
Sasaran untuk menjadi juara dalam saingan Liga Perdana 2018 yang diberikan oleh pengurusan Felda United pasti tidak akan mengganggu konsentrasi Sathianathan dan pasukan kejurulatihannya untuk menggapai apa yang diimpikan.
Iklan
Dibantu oleh jurulatih-jurulatih muda seperti Nidzam Jamil yang mempunyai karakter dan idea-idea baharu serta mempunyai karisma yang mampu membawa sinar kepada pasukan, sewajarnya Felda United diwaspadai.
Tambahan pula, skuad ini diperkuatkan oleh beberapa pemain berpengalaman seperti Shukor Adan, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Hadin Azman serta beberapa pemain muda seperti pemain skuad bawah 23 tahun negara, Daniel Amier Norhisham.
Ini menunjukkan Sathianathan mempunyai perancangan yang jelas dengan mengunakan pemain-pemain muda ini, termasuk dari skuad Piala Belia, untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin bagi membawa cabaran Felda United pada masa hadapan.
Kepada pengurusan tertinggi Felda United, teruslah berusaha untuk membawa Felda United ke mercu kejayaan di mana penulis melihatnya sebagai salah satu pasukan yang mempunyai satu sistem tadbir urus yang baik.
Selain itu, Felda United juga mampu melahirkan pemain-pemain berbakat daripada program-program akar umbi dan akademinya sendiri.
Penulis ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada jurulatih dan pemain-pemain Felda United untuk musim 2018 ini.
Must-Watch Video