Skip to main content

Rencana

Fazin atau A.S. Fadzil?

fazin.jpg
GENERASI milenial barangkali tidak mengenali Fazin Saad.

Hanya penggiat lumba basikal tahu dan sedar sumbangan Fazin, yang meninggal dunia
Khamis lalu.

Anak jati Sungai Petani, Kedah itu adalah satu contoh wira tidak didendang yang tidak
meminta-minta didendang.

Fazin bukan sahaja menyertai Sukan Olimpik di Munich pada 1972 tetapi lebih besar
jasanya kepada sukan kesayangannya itu ialah tapak kukuh yang ditinggalkannya dalam
acara berbasikal trek.

Dengan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) (dahulunya PKLBM) lebih
mengutamakan skuad lebuh raya, Fazin meyakinkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara
(MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, untuk mengalih tumpuan kepada acara trek sebagai
persiapan menuju Sukan Komanwel 1998.

Selaku pegawai penyelaras sukan itu dalam MSN, Fazin percaya acara trek menawarkan
prospek lebih cerah untuk pelumba negara, memandangkan lebuh raya mempertandingkan
lepas beramai-ramai dan ujian masa.

Fazin juga penerima emel daripada Josiah Ng pada tahun 2000 yang sekali gus
mempercepatkan proses mewujudkan budaya lumba basikal trek yang melahirkan lebih
ramai pelumba, termasuk Azizulhasni Awang.

Dalam laman instagramnya, Josiah menukilkan penghormatan tiga perenggan mengenang
jasa Fazin.

“Ke hadapan Haji Fazin, kira-kira 20 tahun lalu, saya mengirim emel mengenai hasrat
menyertai pasukan negara. Saya mengambil penerbangan dari Amerika Syarikat ke Kuala
Lumpur. Kita berjumpa dan berbincang. Anda mengatur satu perlumbaan untuk
membolehkan saya mempamerkan kebolehan saya.

“Untuk dekad yang seterusnya, kita bekerjasama untuk membuktikan bahawa Malaysia
boleh menjadi negara berbasikal trek bertaraf dunia. Ramai yang ragu-ragu dengan
kemampuan kami. Tetapi anda yakin dengan kami dan terus menyokong kami.

“Kami berterima kasih atas dedikasi dan sokongan yang anda berikan untuk sekian
lamanya. Semoga anda tenang di sana, sahabat.”

Apabila dimaklumkan oleh penulis bahawa Fazin pernah menyertai temasya Olimpik, Josiah
terkejut.

“Dia tidak pernah bercerita pun. Ini menunjukkan bahawa dia cukup merendah diri.
Sekurang-kurangnya dia dikurniakan umur panjang untuk menyaksikan pengorbanannya
membuahkan hasil,” kata Josiah.

Fazin yang berlumba dalam acara lebuh raya lepas beramai-ramai dan ujian masa
berpasukan di Munich 1972, menjadi pengurus pasukan profesional Terengganu (TSG)
selepas bersara daripada MSN selain membimbing skuad Myanmar.

Allahyarham juga mendapat tauliah sebagai komisar antarabangsa kategori A dan pernah
menjadi ahli panel kejurulatihan Persekutuan Kebangsaan Lumba Basikal Malaysia
(PKLBM).

Sebagai penyelaras dan kemudian pengurus projek lumba basikal MSN, Fazin bekerjasama
rapat dengan jurulatih seperti Datuk Ng Joo Ngan, Jamaluddin Omar, Omar Saad, Albert
Soloyan dan Valentin Sotnikov (bapa kepada jurulatih olahraga Viktor) serta menjadi
perangsang kepada kemunculan Edwin Ng, Jamil Kadiron dan Ghaffuan Ghazali serta
Fairoz Izni Abdul Ghani Omar, rakan seangkatan Fazin yang juga pernah membimbing skuad negara menjalani latihan di Mannheim, Jerman pada 1985 serta Sukan Asia di Seoul 1986 dan kembali selaku
jurulatih pada lewat 1990-an, menganggap Allahyarham sebagai idolanya.

“Disebabkan latar belakang Allahyarham yang belajar di sekolah bahasa Inggeris,
Allahyarham dapat bekerja sebagai guru sandaran dan guru tuisyen. Jadi dengan duit
gajinya itu Allahyarham sama-sama membantu pelumba lain untuk berlatih.

“Kumpulan kami dari Alor Star akan mengayuh ke Sungai Petani dan berlatih sehingga ke
Pulau Pinang,” kata Omar yang turut beraksi di Sukan Olimpik Munich.

“Nampaknya tiga rakan sepasukan ke Olimpik sudah terlebih dahulu dipanggil menyahut
seruan Ilahi,” kata Omar merujuk kepada Allahyarham Daud Ibrahim, Fazin dan A.B. Rahim
atau Abdul Rahim Bahauddin.

Omar yang juga pengurus pasukan ke Sukan SEA 2017, juga bercerita kisah
kecenderungan pelumba era 1960-an untuk menggunakan nama singkatan, sehingga Fazin
lebih dikenali sebagai A.S. Fadzil di kemuncak kerjayanya.

“Waktu itu pelumba seperti A.B. Rahim dan N.A. Rosli menggunakan singkatan sebagai
nama glamor tetapi saya tidak pasti A.S itu membawa maksud anak Saad atau Abdul Saad.

Hanya selepas bersara Allahyarham menggunakan namanya mengikut kad pengenalan.
Dulu akhbar pun menggunakan A.S. Fadzil atau A.S. Fazil,” katanya.

Menurut Omar yang memenangi pingat perak lebuh raya berpasukan di Sukan Asia 1970,
mereka bertambah rapat selepas menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kami berganding bahu sebagai jurulatih, membentuk pasukan lumba basikal PDRM yang
aktif dari pertengahan 1970-an,”katanya.

Bagi penulis pula, Fazin adalah antara sumber yang berkongsi maklumat dengan media.
Allahyarham mesra media dan memahami tugas kami yang kadangkala mengkritik demi
kebaikan.

Kali terakhir kami bertemu di Taman Tasik Ampang, tempat kami berjoging, kira-kira tiga bulan lalu.

Semoga Allah merahmati dan mengampuni dosa roh Fazin Saad dan meringankan musibah keluarganya. Aamiin.

Advertisement

Must Watch Video