Pintu ke Piala Dunia 2022 kini sudah tertutup, tetapi impian ke Piala Asia 2023 masih dalam jangkauan dan ia harus menjadi keutamaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini.
FAM wajar mengkaji dengan menyeluruh faktor utama aksi hambar barisan negara dalam saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berakhir di Dubai pada pagi Rabu.
Tidak dinafikan pandemik Covid-19 jelas memberi kesan dalam perancangan buat skuad negara apatah negara kita masih dalam Perintah Kawalan Penggerakkan (PKP).
Tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan kerana negara lain turut mengharungi senario yang sama dengan kita.
Secara peribadi penulis berasa gusar terhadap peluang negara melepasi saingan pusingan kedua, sebaik saja AFC memutuskan untuk baki aksi kelayakan Kumpulan G telah berlangsung di Dubai.
Ia kerana barisan negara tidak pernah meraih keputusan positif apabila beraksi di mana-mana negara Asia Barat sebelum ini.
Kelemahan ini perlu di atasi skuad negara di masa depan jika kita serius mahu kembali menjadi antara pasukan terbaik Asia.
Untuk saingan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia yang bakal berlangsung Januari tahun depan, FAM perlu mula mencanang perancangan daripada sekarang.
Dengan kedudukan di tempat ketiga Kumpulan G, Malaysia berjaya mengelak daripada perlu mengharungi aksi play-off.
Di atas kertas, saingan pusingan ketiga dilihat tidak sesukar saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.
Namun, terdapat juga kemungkinan skuad negara diundi sekumpulan dengan pasukan seperti Uzbekistan, Palestine dan Bahrain yang mempunyai rangking FIFA lebih tinggi berbanding Malaysia.
Manakala pasukan di rangking tidak terlalu jauh dari Malaysia seperti Filipina, Myanmar dan Yemen juga bukan lawan yang boleh dianggap mudah buat barisan negara.
Kerana itu penulis berharap, FAM mampu merangka persiapan terbaik dan lebih awal jika benar mahu ke Piala Asia 2023 di China dengan 11 slot masih menjadi rebutan untuk rebutan buat 22 negara yang bersaing di pusingan ketiga kelayakan.
Selain saingan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023, skuad negara akan turut beraksi di saingan Piala Suzuki AFF pada hujung tahun ini dan kerana itu penting buat FAM merangka perancangan terbaik untuk memastikan barisan negara mampu mempamerkan aksi mantap dia dua kejohanan penting dalam masa terdekat.
Justeru, FAM seharusnya menggunakan pentas Piala Suzuki AFF sebagai medan persiapan akhir.
Fadzrie Hazis
Sat Jun 19 2021