Skip to main content

Rencana

FAM BERJEREBU?

280915jerebu-jpg.jpg
Jerebu oh jerebu... Masih belum ada petanda masalah yang disebabkan pembakaran dari hutan negara jiran, Indonesia ini akan reda, situasi itu membuatkan banyak aktiviti luar terjejas kerana gangguan kualiti udara dan jarak penglihatan yang terhad.

Tidak terkecuali perlawanan-perlawanan bola sepak Piala Malaysia yang telah dijadualkan sepanjang September dan Oktober ini dengan satu perlawanan membabitkan JDT II bertemu Kedah terpaksa ditunda ekoran penerbangan skuad Lang Merah dibatalkan kerana masalah jerebu.

Bila pekeliling daripada FAM dikeluarkan menetapkan hanya bacaan IPU 150 ke atas, sesuatu perlawanan layak ditunda dan bertentangan dengan arahan Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) iaitu 100, sememangnya satu persoalan timbul iaitu siapa yang lebih pakar dalam hal ini? (MSN,ISN) atau FAM?

Perkara ini sampai kemuncaknya apabila aksi membabitkan Selangor dan Felda United di Stadium Shah Alam pada 26 September lalu tetap diadakan biarpun ketara jerebu berada di tahap membahayakan dengan jarak penglihatan begitu terhad.

Alasannya cukup mudah iaitu bacaan IPU masih berada di bawah 150 dan perlawanan layak diteruskan walaupun jelas perlawanan itu berlangsung tidak ubah seperti berada musim sejuk di Rusia atau Iceland.

Jurulatih Felda, Irfan Bakti juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan pegawai perlawanan yang seperti tidak peka dengan keadaan sekeliling dan masih berkeras mahu mengikut bacaan IPU.

Masalah ini mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menegur FAM tidak perlu menunggu bacaan IPU 150 memandangkan di bawah garis panduan Jabatan Alam Sekitar, di atas paras 100 sudah dilabel tidak sihat.

Jadi atas hujah apa FAM berasa bacaan atas 150 sahaja, baharu sesuatu perlawanan itu layak ditangguhkan tanpa memikirkan kesihatan pemain, pegawai dan penonton yang hadir?

FAM perlu tampil mengeluarkan satu kenyataan kukuh daripada siapa dan agensi berkelayakan mana yang menyatakan bacaan IPU atas 150, baharu dikatakan tidak sihat kepada kesihatan pemain.

Mungkin kerana belum ada mana-mana pemain yang berdepan masalah kesihatan atas faktor jerebu atau situasi lebih teruk, berdepan kematian, maka FAM sanggup memandang sebelah mata aspek kesihatan manusia berbanding kerugian ekoran penundaan satu perlawanan?

FAM ternyata perlu profesional dalam hal ini dan jangan hanya masalah di kemudian hari, hati mereka menjadi buta serta takut membuat keputusan penting kerana nyawa manusia lebih berharga daripada wang ringgit.

Tanpa sebarang petanda masalah jerebu akan selesai, FAM kena bijak membuat keputusan yang pantas dan tepat tanpa menunggu di saat-saat akhir permainan selain guna budi bicara bila melihat keadaan persekitaran.

Advertisement

Must Watch Video