Meluangkan masa yang melampau di kafe siber bermain permainan video sebelum ini dilihat sebagai satu aktiviti yang tidak bermanfaat tetapi tidak lagi kerana mereka sudah memiliki satu sasaran yang tingg, bermula tahun 2018.
Majlis Sukan Negara (MSN) akan menubuhkan Unit Sukan Elektronik bagi membangunkan bidang itu sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.
Advertisement
Mengumumkan perkembangan itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata Majlis Olimpik Asia (OCA) sudah pun mengiktiraf sukan berkenaan apabila menyenaraikannya dalam Sukan Asia.
"Sukan elektronik ini sudah diiktiraf sebagai sebuah sukan dan Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam melatih lebih ramai atlet bagi sukan ini," kata Khairy.
Buat julung kalinya, sukan elektronik atau ringkasnya e-sukan, akan disenaraikan sebagai sukan demonstrasi dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia sebelum dipertandingkan dalam temasya seterusnya di Hangzhou.
Sebelum ia dipertandingkan secara rasmi pada tahun 2022 itu, satu acara demonstrasi akan dilakukan dalam Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia.
Ia merupakan satu langkah ke hadapan buat arena e-sukan kerana mereka memiliki komuniti tersendiri dan semakin aktif dalam mengatur pertandingan bukan saja di peringkat kebangsaan, malah di peringkat antarabangsa.
Antara permainan utama yang berkemungkinan besar bakal dipertandingkan ialah Defense of the Ancients (DotA) 2, League of Legends (LoL) dan Counter Strike: Global Offensive (CS:GO) serta permainan video bolasepak, FIFA.
Sebagai permulaan, Sukan Siber Malaysia bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Januari ini . Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) memberi sokongan terhadap acara itu dalam usaha untuk menyaksikan komuniti e-sukan semakin membangun di Malaysia.

Perkara ini sejajar dengan saranan oleh MSN yang memberikan tempoh selama dua bulan kepada Persatuan E-Sukan Malaysia bagi menghasilkan penstrukturan yang lebih kukuh dan kejohanan ini mampu membuktikan kepada mereka bahawa e-sukan bukan lagi dianjurkan secara kecil-kecilan.
Daripada segi penajaan dan wang hadiah lumayan yang ditawarkan, sememangnya ia menjadi tarikan utama dan perkara ini sekaligus akan menggalakkan lebih ramai peserta untuk terlibat dalam mengambil bahagian.
Kehadiran e-sukan ini tidak akan mengetepikan sukan tradisional yang lebih kukuh di negara ini, malah ia akan membuka peluang kepada rakyat Malaysia membuktikan kebolehan mereka menerusi permainan video secara kompetitif di peringkat antarabangsa.