Skip to main content

Rencana

EPL: Kelab mana paling dibenci?

hated.jpg
Anda penyokong Manchester United atau anda peminat Liverpool?

Jika anda penggemar salah satu kelab berkenaan, anda terselamat daripada bersekutu dengan kelab paling dibenci dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Malah, jika anda pengikut Tottenham Hotspur atau mungkin juga Arsenal, maka anda juga beruntung kerana terkecuali.

Kita boleh memahami andai benar penyokong United dan Liverpool di Malaysia – berdasarkan komen-komen netizen -- saling membenci tapi undian terhadap satu sama lain di England tidak membawa salah satu menerima gelaran kelab yang paling tidak disukai.

“Munyet” dan “Lembupool” harus hanya senda-gurau sesama sendiri berdasarkan sejarah perseteruan panjang mereka sambil masing-masing ghairah untuk melihat pasukan mana yang lebih dahulu “masuk gua”.

Akhbar British, Daily Mirror, dengan purata pengedaran lebih 500,000 naskhah sehari, baru-baru ini membuat satu tinjauan pendapat peminat EPL.

Mereka ditanya sama ada mereka meminati, membenci atau tidak ambil peduli terhadap kelab-kelab dalam EPL – dan hasil tinjauan itu amat menarik rumusannya.

Setiap undian bagi ketiga-tiga kategori berkenaan – minat, benci atau tak peduli -- diberi kewajaran yang sama berat.

Dan hasilnya, kesudahannya tidaklah terlalu mengejutkan – Chelsea adalah pasukan yang paling dibenci.

Kelab London Barat itu telah meningkat untuk menjadi antara yang paling berjaya pada abad ini gara-gara suntikan dana yang besar daripada hartawan, Roman Abramovich.

Dalam pada itu, The Blues juga menjadi tidak popular disebabkan beberapa insiden tidak menyenangkan berkaitan sikap perkauman sebahagian penyokongnya – antaranya terhadap Raheem Sterling di Stamford Bridge awal musim ini.

Begitupun, hasil tinjauan pendapat itu tidak terlalu jauh, dengan Manchester United mengisi kedudukan kedua hasil 68.1 peratus undian  -- hanya ketinggalan 0.6 peratus kepada Chelsea yang meraih 68.7 peratus undian berkenaan.

Liverpool menyusul sebagai pasukan ketiga dibenci dengan 52.8 peratus, diikuti oleh West Ham (47.6 peratus) dan Arsenal (46.2 peratus) untuk melengkapkan senarai lima teratas.

Andai kebencian ramai adalah berkaitan dengan kejayaan, ia tidak harus sedemikian kerana juara bertahan, Manchester City – yang mendahului carta liga ketika ini – sekadar mengisi kedudukan ketujuh dengan 38.7 peratus undian.

Keputusan penuh undian Daily Mirror adalah seperti berikut:

Pasukan EPL paling dibenci

1. Chelsea 68.7% 
2. Man United 68.1%
3. Liverpool 52.8%
4. West Ham 47.6%
5. Arsenal 46.2%
6. Tottenham 43.5%
7. Man City 38.7%
8. Cardiff 36.5%
9. Crystal Palace 29.7%
10 Everton 27.0%
11 Watford 24.0%
12 Newcastle 23.5%
13 Wolves 20.1%
14 Leicester 18.9%
15 Southampton 16.3%
16 Brighton 16.2%

Advertisement

Must Watch Video