Skip to main content

Rencana

Enam bulan ke Tokyo

haki-mas-vs-ita_1.jpg
Saya tidak begitu kagum dengan statistik skuad hoki negara selepas muncul naib juara Hoki Siri Final sekali gus layak ke play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pemain diangkat sebagai wira apabila berjuang bermati-matian sebelum tewas, 2-3 kepada Kanada di final.

Namun melihat kepada sasaran utama, November depan - banyak kerja perlu dilakukan.

"Saya bimbang dengan posisi penjaga gol, Hairi Abd Rahman dan Mohd Hafizuddin Othman belum sedia lagi untuk mengambil alih tugas S.Kumar pada kejohanan penting seperti kelayakan Olimpik".

"Banyak kesilapan dilakukan dan saya fikir play-off Kelayakan Olimpik nanti, kita perlu bergantung kepada Kumar juga. 

"Enam bulan menjelang kelayakan, Roelant Oltmans (Ketua Jurulatih) perlu beri pendedahan sebanyak mungkin kepada Hairi dan Hafizuddin sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan Kumar sudah mencapai usia 40 tahun," kata bekas kapten negara, NorSaiful Zaini.

Malaysia bolos 13 gol, lapan daripadanya menerusi pukulan sudut penalti.

Ia bukti cara Malaysia bertahan menghadapi gerakan pemusnah itu masih lemah. Pelari pertama, Mohd Marhan Abd Jalil, Nik Mohd Aiman Nik Rozemi dan NorSyafiq Sumantri perlu mengkaji corak larian mereka.

Begitu juga dengan postman dan penjaga gol yang mungkin tidak cukup menutup ruang.
Oltmans juga mungkin perlu melihat senarai pemainnya.

Kemasukan penyerang muda, Mohd Akhimullah Anuar Esook pada saat akhir menggantikan Shahril Saabah yang cedera - tidak mengagumkan.

Penyerang berusia 19 tahun ini gagal menjaringkan gol tetapi ada sumbangan terutama mendapatkan pukulan sudut penalti. Saya yakin Shahril Saabah, Mohd Haziq Shamsul dan Amirul Aideed Mohd Arshad sedang menunggu peluang untuk merampas posisi itu.

Secara keseluruhan, saya fikir Malaysia berdepan tugas sukar untuk layak. Kita perlu menunggu ranking dunia (dijangka Ogos depan) sebelum undian play-off kelayakan Olimpik dikeluarkan. Saya harap Malaysia bertemu Kanada!

Kepada pemain, gunakan tempoh enam bulan ini sebaik mungkin.Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sudah meluluskan perancangan berlatih di Eropah bersama juara dunia, Belgium, Jerman dan Belanda. Kemudian, anda akan ke Jepun (untuk menguji venue temasya).

Pasukan lain mungkin tidak mendapat bantuan seperti ini. Jadi, gunakan sebaik mungkin dan tamatkan kemarau 20 tahun untuk kembali ke pentas Olimpik.   

Advertisement

Must Watch Video