Skip to main content

Rencana

Ego dan kepentingan diri rosakkan bola sepak negara

271116malaysia.jpg

Kegagalan pasukan kebangsaan melayakkan diri dari peringkat kumpulan dalam Kejohanan Piala Suzuki AFF 2016 hujung minggu lalu mengundang pelbagai rungutan dan kekecewaan pencinta bola sepak tanah air. Apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Itulah hakikat kualiti bola sepak negara kita ini, di mana ia masih tidak mampu membawa satu lembaran baharu walaupun bola sepak negara sudah lama berada dalam kancah profesional – meskipun hanya pada nama.

Bukan sahaja daripada segi permainan tetapi daripada segi pentadbiran juga masih dibelenggu permasalahan walaupun kita tahu yang berada dalam pentadbiran ini semuanya daripada golongan bijak pandai.

Kenapa semua ini berlaku sedangkan negara kita sudah maju sebagaimana yang telah diletakkan oleh pemimpin negara yang terdahulu dengan wawasan mereka untuk mencipta kejayaan menjulang nama Malaysia di persada dunia?

Apakah disebabkan sikap kepemimpinan di dalam pentadbiran bola sepak negara tidak ada wawasan atau memang sikap orang kita yang begitu selesa dengan apa yang ada?

Apa yang pasti adalah sikap kita sendiri yang tidak ikhlas dalam memartabatkan bola sepak kita sendiri, terutama dalam kalangan pemimpin persatuan dalam membantu pemain-pemain mengejar visi mereka untuk membina kerjaya. 

Ini yang perlu ditekankan oleh persatuan, bagaimana untuk memastikan pemain-pemain muda kita mempunyai tapak untuk mereka meningkatkan prestasi sendiri, terutama teknik individu serta kemahiran berfikir ketika bermain di peringkat tertinggi. 

Begitu juga dengan jurulatih-jurulatih tempatan, terutama di peringkat akar umbi dan tahap tertinggi, perlulah jujur dalam membina kerjaya -- bukan semata-mata pentingkan diri sendiri.

Sementara itu, pemain-pemain muda perlulah mempunyai misi dan visi dalam membina kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional. 

Janganlah hanya berfikir hanya untuk membina kerjaya di Malaysia, sebaliknya perlu berfikir di luar kotak memandangkan banyak peluang yang ada di hadapan mereka. 

Gunakan semua platform yang ada, terutama melalui pendidikan, kerana sekiranya mempunyai keputusan pelajaran yang baik, sudah tentu peluang untuk masuk ke universiti di dalam serta luar negara amat mudah dan disitulah platform menimba pengalaman bermain.

Selain itu, bola sepak moden memerlukan pemain yang cerdik serta bijak dalam membuat keputusan dengan pantas dan tepat.
 
Kerjasama di semua peringkat amat penting demi memartabatkan kembali bola sepak negara. Buanglah semua ego dan kepentingan diri sendiri demi kemajuan bola sepak negara. 

 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found