Skip to main content

Rencana

Ederson harapan penalti Guardiola

edersib.jpg
"Ia tidak akan berlaku kerana ada pemain lain boleh lakukannya. Pasukan lawan dan saingan perlu dihormati."

Itu kata pengurus Manchester City, Pep Guardiola, ketika ditanya wakil Daily Mail, Kieran Gill, mengenai kemungkinan penjaga gol, Ederson Moraes, bakal menggalas tugas menyempurnakan sepakan penalti, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas beberapa tahun, pendapat itu kelihatan berbeza. 

Selepas Sergio Aguero dan Raheem Sterling gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diraih dalam sesetengah perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini, Gabriel Jesus mengikut jejak langkah rakan sepasukannya itu apabila turut mensia-siakan peluang sama sewaktu berdepan Sheffield United, bulan lalu.

Situasi itu menyaksikan Guardiola terpaksa mengeluarkan kenyataan yang berbeza dengan apa yang pernah diungkapkan pada 2018.

"Ederson adalah yang terbaik. Percayalah, dia individu terbaik jika bercakap soal sepakan penalti kerana dia sangat tenang untuk melakukannya," ujar pengurus itu.

Seperti omong kosong, Guardiola tetap mempertaruhkan Aguero ketika City dianugerahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Dennis Praet dalam pertemuan dengan Leicester City, hujung minggu lalu.

Sekali lagi, Aguero gagal menyempurnakan peluang itu selepas Kasper Schmeichel melayangkan badan untuk menafikan tendangan penggempur Argentina itu tetapi City tetap bernasib baik, meraih kemenangan hasil gol tunggal Jesus.

Melihat kepada senario yang berlaku, mungkin sudah tiba masa untuk Guardiola berani mempertaruhkan Ederson untuk tugasan itu di masa akan datang atau City terus gagal mencipta impak setiap kali pengadil menunjukkan isyarat penalti.
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found