Skip to main content

Rencana

Durakovic ada pendekatan tersendiri

durakoviccc_1.jpg
Kejayaan pengendali Perak, Mehmet Durakovic, membawa The Bos Gaurus ke final Piala FA musim ini semakin menguatkan reputasinya sebagai jurulatih yang cemerlang di pertandingan kalah mati dalam Liga Malaysia.

Prestasi Perak mungkin kurang konsisten pada awal musim di Liga Super, namun saingan Piala FA jelas menjelmakan aksi yang berbeza daripada pasukan itu.

Apa istimewanya kaedah bekas pemain antarabangsa Australia itu?

Bagi penulis, pendekatan taktikal Durakovic banyak menekankan aspek pertahanan ampuh, corak permainan serang balas yang kadang kala mudah diramal lawan.

Namun jika kita perhatikan kenyataan Durakovic di sidang media pasca perlawanan, dia tidak pernah mengkritik mana-mana pemainnya secara terbuka kepada media dan sentiasa melindungi setiap pemain dalam pasukannya.

Pendekatannya itu jelas kelihatan ketka dia membantu Selangor meraih kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-33 pada 2015 dan kini ia berterusan bersama Perak sehingga musim lalu mereka turut menjuarai Piala Malaysia.

Selain melindungi pemain, Durakovic turut menerapkan suasana kekeluargaan dalam pasukan yang dikendalikannya dan bagi penulis ia lebih mudah dilakukan di Perak.

Ia kerana pengurusan skuad Perak sejak tiga musim lalu hanya membariskan sebahagian besar pemain kelahiran Perak dalam pasukan, oleh itu semangat kenegerian mereka cukup kuat ketika di atas padang.

Elemen kekeluargaan dan kenegerian itu jelas menambah keampuhan ramuan Durakovic buat Perak dalam tiga musim dia mengendalikan pasukan itu.

Bekas pengendali Melbourne Victory ini juga sentiasa sabar dalam penggunaan sesetengah pemain seperti Brendan Gan dan juga Shahrel Fikri dengan hanya menurunkan dua binang utama Perak ini pada waktu dan perlawanan yang sesuai.

Pada awal musim, kedua-dua Brendan dan Sharel kerap bergelut dengan kecergasan selepas masing-masing pulih daripada kecederaan.

Brendan ketika ini adalah antara pemain tengah konsisten dalam saingan Liga Super dan penulis berasa, tidak mustahil bekas pemain Sydney FC itu akan kembali menguatkan skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe.

Shahrel pula ketika ini semakin membuktikan, dia berupaya mengepalai jentera serangan skuad kebangsaan berlandaskan aksi yang dipamerkan di saingan play-off kelayakan Piala Dunia berdepan Timor Leste Jun lalu.

Kini, bekas pertahanan import Selangor ini memburu piala ketiganya sejak kembali sebagai jurulatih di Malaysia pada 2014 dan penulis berasa, dia mampu meraihnya.

Apa pun, Kedah juga bukan calang-calang pasukan kerana mereka turut dikendalikan seorang jurulatih yang turut penulis minati musim ini, Aidil Sharin Sahak yang dijangka memberi tentangan sengit buat Perak.

Sudah pasti peminat Perak dan Kedah boleh menjangkakan aksi menarik di pentas final kali ini.

Advertisement

Must Watch Video