Skip to main content

Rencana

Dua faktor Piala Sumbangsih 2020 tidak boleh dilepaskan

kedahjdt.jpg
Saban tahun, perebutan Piala Sumbangsih akan menjadi penanda bermulanya saingan Liga Malaysia dengan kejuaraan musim ini bakal ditentukan diantara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah.

Seperti kebiasaannya juga, pelbagai pihak cuba memberikan ramalan masing-masing tetapi tidak kurang juga yang terus memberikan kemenangan apabila ia membabitkan pasukan harimau selatan yang berkelebihan dari semua segi.

Bagaimanapun tidak kira pasukan mana yang disokong malam ini, mereka yang berada di atas pagar juga tidak boleh melepaskan perlawanan pertama musim ini atas 2 faktor yang membezakan edisi kali ini dengan 34 yang lain.

Kemunculan Liridon Krasniqi pada majlis memperkenalkan pemain baharu JDT di Ibu Pejabat Kelab Bola Sepak JDT di Iskandar Puteri pada 20 Disember 2019, menutup kontroversi berkaitan pemain yang diangkat penyokong Kedah sebagai 'lejen' dengan gelaran mesra Mat Don.

Pernah kecoh di media sosial Mat Don menghentam bekas pengendali skuad Lang Merah, Nidzam Adzha yang meluahkan kekecewaan dengan tindakannya meninggalkan Kedah dalam situasi sukar, seolah menyingkap karakter sebenar Mat Don yang tidak menghormati mereka yang pernah berjasa kepadanya.

Isu pemberian kerakyatan yang membolehkan Mat Don beraksi sebagai pemain naturalisasi selepas Mohamadou Sumareh turut dipersoalkan kerana tiada rekod jelas menyatakan Mat Don pernah menetap di Malaysia sebelum beraksi bersama Kedah pada 2015, bermakna dari segi perundangan negara, Mat Don belum melepasi tempoh 10 tahun menetap di Malaysia.

Namun persoalan yang jelas, kini Mat Don perlu berhadapan bekas pasukan yang banyak dikaitkan dengannya selama berada di Malaysia, Kedah sebelum boleh membuka buku baru bersama JDT yang mahu langkah kanan di stadium baharu mereka, Stadium Sultan Ibrahim.

Stadium yang dianggap tercanggih di rantau Asia Tenggara itu mampu memuatkan 40,000 penonton dan merupakan sebahagian dari Bandar Sukan JDT yang akan menempatkan beberapa fasiliti sukan yang bakal dilancarkan secara berperingkat.

Reka bentuk stadium yang diilhamkan daripada bentuk daun pisang itu turut dilengkapi kemudahan padang jenis `zoysian’ dan ia mencapai piawaian yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), selain sistem pencahayaan moden dan bunyi yang canggih.

Rasanya bukan hanya pemain JDT dan penyokong setia mereka sahaja yang teruja untuk menghangatkan Stadium Sultan Ibrahim dengan aksi kompetitif pertama, bahkan aura luar biasa yang tidak ditawarkan dimana-mana venue pertandingan lain di Malaysia pastinya mahu diserap barisan yang diketuai pemain berpengalaman, Baddrol Bakhtiar dan penyokong mereka yang merantau nun jauh dari utara.

Untuk itu, artikel ini diakhiri dengan 2 persoalan buat dilengkapkan JDT dan Kedah malam ini - Kemampuan Kedah menjadikan perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim seimbang seperti berlangsung di lokasi berkecuali dengan memanfaat suasana baharu seperti diluar negara dan apakah gahnya stadium serba canggih yang dirancang sejak penjenamaan semula pasukan telah memudahkan penguasaan JDT yang mencari kemenangan kelima untuk mengejar rekod kejuaraan terbanyak milik Selangor, 8 kali? Sama-sama kita nantikan.

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found