Skip to main content

Rencana

DNA 'Cara Malaysia' on tak on?

dna-cara-malaysia.jpg
Persatuan Bolasepak Malaysia FAM menerusi kepimpinan Datuk Hamidin Mohd Amin terus mengorak langkah untuk memartabatkan bola sepak negara apabila melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia secara rasmi, semalam.

DNA itu dilancarkan sebagai rujukan bagi semua pihak memahami corak permainan mengikut acuan bola sepak negara yang boleh digambarkan menerusi corak permainan skuad Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe.

Sememangnya, langkah proaktif badan induk bola sepak Malaysia itu harus dipuji dan dihargai sebagai pendukung kepada kemajuan bola sepak tanahair.

Namun, persoalannya mampukah ia dilaksanakan? Penulis secara peribadi berasakan agak susah kerana sentimen 'winning mentality' masih menebal di kalangan kita sebagai penggiat sukan tanahair.

Malah, hal ini sudah menjadi amalan dan budaya dalam sukan di negara ini apatah lagi bola sepak sebagai sukan nombor satu negara. Masuk sahaja pertandingan, mesti nak menang dan ia sudah berlaku di peringkat akar umbi lagi.

Penulis ada pengalaman mengenai perkara itu selain perkongsian daripada kenalan rapat yang bergiat aktif dalam program pembangunan bola sepak negara.

Justeru, FAM perlu memastikan tiada lagi sentimen berkenaan dalam kalangan pemain akar umbi untuk memastikan DNA bola sepak Malaysia yang dicanang mampu membuahkan hasil kelak.

DNA yang dinamakan Cara Malaysia itu harus menjadi garis panduan kepada pemain, jurulatih dan tenaga pengajar jurulatih dari peringkat bawah hingga ke peringkat tertinggi. 

Ia merangkumi kaedah permainan yang menitikberatkan etika kerja sepasukan, dengan menyerang secara teratur dan bertahan secara berpasukan.

Sasaran FAM adalah melahirkan pemain yang benar-benar Cara DNA Malaysia pada 2030 sejajar kemuncak peta hala tuju F:30.

Advertisement

Must Watch Video