Skip to main content

Rencana

Djokovic makan rumput

djokovic.jpg
Bukannya lapar tetapi rasa nikmat tidak terhingga makan rumput di gelanggang utama Wimbledon dipamerkan Novak Djokovic sebaik sahaja menjulang kejuaraan kejohanan tenis tertua di dunia. 

Sudah menjadi tradisi Djokovic memetik rumput dan mengunyahnya untuk meraikan kejayaan di gelanggang rumput berprestij itu. 

Dua nama besar dalam dunia tenis lelaki, Djokovic dan Roger Federer, bertembung untuk mencipta sejarah perlawanan paling lama dalam final Wimbledon dengan aksi epik selama empat jam 57 minit. 

Bukan sahaja peminat tenis tetapi kebanyakan peminat sukan Malaysia menyengkang mata sehingga lebih dua jam awal pagi Isnin lalu di kaca televisyen menjadi saksi kesempurnaan dua orang atlet dari Switzerland dan Serbia. 

Federer belum pernah menewaskan Djokovic di pentas final grand slam sejak 2012, mencari kejuaraan kesembilan Wimbledon namun akur melepaskan peluang terbaik ketika peroleh dua mata akhir di set kelima ketika mendahului 8-7. 

Saya sendiri jatuh cinta dengan pukulan ‘one-handed backhand’ Federer yang cukup sempurna tetapi aksi ala pahlawan Djokovic membuat saya belah bahagi siapa yang saya perlu pilih. 

Kebanyakan daripada 15,000 penonton di gelanggang utama tampak lebih inginkan pemain berusia 37 tahun, Federer menang tetapi akhirnya juara bertahan dan pemain nombor satu dunia, Djokovic, membuktikan siapa lebih hebat dengan kemenangan 7-6 (7-5), 1-6, 7-6 (7-4), 4-6, 13-12 (7-3).

Di atas nama semangat kesukanan dan menghormati pemenang 20 kali grand slam, Federer, pemain 32 tahun Serbia itu hanya meraikan kejayaan paling bermakna dalam kariernya dengan senyuman. 

Diikuti tradisi memakan rumput dari gelanggang utama itu diteruskan sejak kali pertama merasai kejuaraan di Wimbledon pada 2011. 

Pasti rasa rumput kali ini lebih sedap setelah muncul pemain pertama sejak 1948 yang berjaya bangkit dari ketinggalan di mata akhir untuk menukar skrip perlawanan kepada kemenangan. 

Djokovic sudah lima kali menikmati rumput di Wimbledon dan ‘The Joker’ bertekad menambah koleksi 16 grand slam tidak lama lagi. 

Advertisement

Must Watch Video