Skip to main content

Rencana

Dilema Nik Akif

asdd.jpg
Tugasan untuk negara atau perjuangan pasukan negeri? Itu dilema yang melanda pemain tengah muda Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, ketika ini.

Pemain berusia 19 tahun kelahiran Kuala Krai itu mendapat panggilan skuad bawah 19 tahun negara untuk kem latihan di Doha, Qatar bermula Selasa depan tatkala dalam perjuangan bersama Kelantan untuk kempen Piala Malaysia.

Ia tampak sama penting buat Nik Akif kerana tugasan negara adalah sebagai persiapan dan persediaan akhir bagi menghadapi Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Indonesia, 18 Oktober hingga 4 November depan.

Manakala tugasan bersama The Red Warriors adalah untuk perlawanan timbal balik suku akhir Piala Malaysia menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu Sabtu depan.

Ketika ini, Nik Akif berpeluang untuk membantu pasukannya mara ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan berprestij itu selepas menewaskan Sabah 2-1 dalam pertemuan pertama suku akhir di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam.

Nik Akif sekali lagi menjadi watak penting kejayaan Kelantan apabila menjadi pencetus jaringan untuk gol pertama dan meledak jaringan untuk gol kedua menerusi sepakan penalti yang memastikan bekalan tipis ke tempat lawan nanti.

Sebelum ini, pemain yang turut mewakili skuad bawah 23 tahun negara ini muncul wira Kelantan ketika bertemu Kedah dalam aksi terakhir peringkat kumpulan apabila jaringan lewat permainnya memastikan kemaraan pasukan ke suku akhir.

Sememangnya tanpa Nik Akif, skuad Kelantan akan berdepan kesukaran untuk mengharungi aksi getir di Likas nanti apatah lagi gandingannya bersama Danial Ashraf Abdullah cukup jitu ketika menjana bahagian tengah pasukan.

Nik Akif antara 12 pemain yang diminta bersedia untuk menjalani latihan dan menggantikan mana-mana pemain daripada senarai 26 pemain sekiranya mengalami kecederaan.

Namun, sudah pasti pengendali bawah 19 tahun negara Bojan Hodak memerlukan khidmatnya untuk misi di Doha itu. Ini kerana dia merupakan tonggak utama bagi skuad muda negara.

Berdasarkan situasi semasa, Nik Akif tampak sukar untuk dilepaskan kerana faktor pasukan Kelantan itu sendiri dan ini juga bermakna khidmat Nik Akif mungkin terpaksa dilupakan Hodak sekiranya TRW membuat kejutan mara sehingga ke aksi final Piala Malaysia.

Ini kerana, perlawanan akhir dan kemungkinan separuh akhir kedua Piala Malaysia akan bertindih dengan aksi skuad bawah 19 tahun negara di Indonesia nanti.

Advertisement

Must Watch Video