Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Rencana

Diam-diam Lazio berisi

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ciro-immobile-cropped_3pf3n1xbiv1u1ezytaz1u16hw.jpg
Sesiapa yang mengharapkan Lazio untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL), mereka sudah hampir boleh menantikannya musim hadapan. Tetapi mereka kini bukan sahaja boleh mendambakan pentas elit tersebut, malah mereka ini dalam persaingan bersama Inter dalam usaha untuk merebut piala Scudetto daripada cengkaman Juventus.

Selepas sekadar menamatkan saingan di tempat kelapan musim lalu, Lazio seakan dihembus nafas baharu musim ini dan menampilkan aksi-aksi yang berkesan sepanjang musim termasuklah mengatasi skuad Inter yang dikendalikan Antonio Conte untuk menjadikan saingan Serie A musim ini antara persaingan-persaingan yang paling sengit sepanjang zaman.

Skuad bimbingan Simone Inzaghi ini sekarang berada di landasan untuk melakukan pencapaian terbaik mereka sejak tahun 2015 selepas tidak tewas dalam 20 perlawanan dan mengutip 59 mata. Dengan hanya satu mata di belakang Juve, semestinya mereka kini boleh meletakkan harapan untuk merangkul gelaran juara Serie A buat pertama kali sejak tahun 2000.
 
Dengan kehadiran pemain seperti Ciro Immobile yang mengetuai jentera serangan, segalanya tidak mustahil buat pasukan yang memiliki rekod pertahanan terbaik musim ini dan juga serangan kedua terbaik dengan 58 jaringan gol. 27 daripadanya hadir menerusi pemain kebangsaan Itali ini, enam gol lebih banyak daripada Cristiano Ronaldo, yang meletakkan dirinya di petak teratas bagi persaingan merebut kasut emas Serie A.

Selain itu, mereka sudah menemui keseimbangan di atas padang seperti Sergej Milinkovic-Savic yang bergandingan bersama Luis Alberto -- yang telah melakukan 11 bantuan jaringan dalam saingan Serie A -- menyaksikan mereka mengawal hampir setiap bahagian pandang sepanjang permainan. Ia menghadirkan keseimbangan dalam kreativiti serta kesedaran ketika bertahan, sesuatu yang sukar ditemui dalam banyak pasukan musim ini. Jumlah jaringan Immobile dan pertahanan kental pasukan membenarkan Lazio kekal dalam persaingan Serie A dan boleh dilihat sebagai 'kuda hitam' dalam perebutan takhta liga musim ini.

Mengukuhkan lagi semangat perjuangan Lazio adalah pengendalinya, Simone Inzaghi, yang memiliki sasaran peribadi dalam bidang pengurusan serta melanjutkan lagi legasinya sebagai seorang legenda Lazio ini. Beliau merupakan antara pemain-pemain yang berpengaruh di sebalik kejayaan mereka bergelar juara pada tahun 2000.

Advertisement

Must Watch Video