Skip to main content

Rencana

Dia antara yang membina semula imej Harimau Malaya

zaquan.jpg
Ketika ada di kalangan pemain kita tidak lagi berminat menyarung jersi negara, dialah yang tampil memberi khidmat kepada negara. Ketika skuad negara dipandang sepi di pentas antarabangsa, dialah yang kembali menyalakan api perjuangan skuad negara.

Zaquan Adha Abdul Radzak antara individu penting yang membina semula imej Harimau Malaya selain menjadi teraju utama jurulatihnya, Tan Cheng Hoe bersama pemain lain selepas skuad kebangsaan dirundung malang dengan siri kekalahan dibawah kendalian Nelo Vingada.

Namun, anak jati Seremban itu kini berada dalam senarai teratas pemain yang dibenci oleh segelintir peminat bola sepak tanahair hanya kerana sering jatuh ketika beraksi sehingga disarankan oleh seorang bekas pemain negara agar tidak lagi menyarung jersi kebangsaan.

Penulis secara peribadi bingung dan pelik dengan kenyataan tersebut kerana ia langsung tidak mencerminkan pandangan seorang bekas pemain kebangsaan yang sepatutnya memberi kritikan membina kepada mana-mana pemain yang pernah mengalami kecederaan.

Apatah lagi kepada pemain yang masih mempunyai jiwa dan hati untuk menabur bakti bersama skuad negara. Ini tidak, lain pula pandangan yang diberikan seolah olah menjatuhkan semangat pemain yang pernah cedera untuk kembali beraksi ke tahap terbaik masing-masing.

Zaquan yang juga kapten skuad negara menerima kecaman daripada peminat bola sepak tempatan yang melabelnya lembik ketika beraksi, namun membuka mulut dengan mendedahkan punca mengapa dia kadang-kadang mudah jatuh apabila diasak pertahanan lawan.

Menerusi luahan hati yang dibuat di laman Instagram miliknya, Zaquan menjelaskan sebenarnya dia mengalami kecacatan kekal ekoran kecederaan ACL yang kakinya terpaksa dibedah sebanyak empat kali dan susulan daripada kesan pembedahan itu, keseimbangan badannya ada kalanya tidak stabil sekali gus mudah jatuh ketika beraksi.

Sekalipun mendapat kritikan, Zaquan masih mahu mewakili negara jika kudratnya terus ditagih Cheng Hoe apabila bersedia untuk beraksi dalam pusingan pertama play-off Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 menentang Timor Leste Jun ini yang akan berlangsung ketika suasana Hari Raya Aidilfitri!.
 

Advertisement

Must Watch Video