Skip to main content

Rencana

Di antara dua Mokhtar dan Selangor

201216mokhtar.jpg

(bersambung dari bahagian lalu)

Legasi kegemilangan yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari bersama Selangor nampaknya tidak akan dibiarkan lenyap begitu saja.


Jaminan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, untuk mengambil langkah yang perlu bagi memastikan kegemilangan bola sepak Selangor berkekalan, sekurang-kurangnya melegakan semua yang terbabit buat ketika ini.

Kini, lampu sorot terarah pula kepada Datuk Abdul Mokhtar Ahmad, timbalan presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) serta barisan exconya dengan pelbagai desakan yang mengenakan tekanan ke atas mereka.

Rata-rata penyokong Selangor masih terus merindui sentuhan keajaiban Allahyarham Mokhtar untuk mereka kini mengalihkan tumpuan kepada Mokhtar yang seorang lagi bagi melestarikan cabaran skuad Gergasi Merah daripada berkubur.

Daripada penyokong hingga kepada Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Mohamed Azmin, hinggalah kepada peminat nombor satu terkini, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, semuanya sudah bersuara.

Masing-masing enggan merelakan tradisi kegemilangan skuad Merah-Kuning dikorbankan – jelas sekali menolak jauh-jauh ancaman pengurusan pasukan Selangor untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia jika ketidakcukupan dana, yang jelas bukan satu opsyen ketika ini.

Tengku Amir Shah mendahului gesaan dengan menyarankan supaya rombakan drastik dilakukan FAS berikutan perkembangan terkini – persatuan itu menghadapi masalah ketiadaan dana di sebalik bermegah selaku juara 33 kali Piala Malaysia – yang dilihat amat membimbangkan.

Menerusi akaun rasmi Instagramnya, beliau antara lain menyarankan supaya ‘orang lama’ dalam FAS mengundurkan diri dengan cara terhormat.

Seperti mana Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sangat mengambil berat ketika masih menjadi Raja Muda pada era kegemilangan Allahyarham Mokhtar, kini Tengku Amir Shah pula mewarisi minda bola sepak ayahandanya dengan gesaan supaya FAS mengorak strategi bukan sahaja untuk pasukan utama tetapi juga menekankan pembangunan bola sepak peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, Gabungan Kelab Penyokong Selangor pula sudah menghantar memorandum memohon perhatian Sultan Selangor berhubung kemelut yang melanda FAS dan memohon perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menitahkan Mohamed Azmin melakukan rombakan segera ke atas pengurusan persatuan tersebut.

Digabungkan tuntutan kedua-duanya -- Tengku Amir Shah dan Gabungan Kelab Penyokong – tempiasnya haruslah lebih kepada Mohamed Azmin yang menduduki kerusi panas jurumudi FAS dan beliaulah yang seharusnya bertanggungjawab.

Tapi, tunggu dulu.

Mohamed Azmin, dalam reaksi segeranya, sebaliknya, menyatakan bersetuju dengan cadangan merombak pengurusan FAS dan meminta mereka yang tidak lagi mampu memberi apa-apa sumbangan kepada persatuan, supaya berundur secara terhormat.

Maksud daripada hujah Presiden FAS itu ialah beliau tidak mendapat secukupnya sokongan daripada barisan exconya sendiri atau ada keputusan mahupun arahannya yang tidak dilaksanakan mereka.

Bukanlah rahsia juga ada seorang dua daripada anggota exco FAS yang seboleh-bolehnya mahu dilihat Mohamed Azmin supaya berundur sebagai galang ganti kepada suntikan dana daripada pihaknya untuk menjamin kelangsungan cabaran Selangor musim depan.

Sama ada ia bermaksud kepada Abdul Mokhtar atau sebaliknya, tempias kepadanya sukar dihindarkan selaku timbalan presiden, apatah lagi beliau adalah orang lama yang menyertai kerabat FAS selaku naib presiden pada 1995 sebelum ‘dinaikkan pangkat’ ke jawatannya sekarang pada tahun 2000.

Di antara 1999 dan 2003, beliau juga adalah pengurus pasukan Gergasi Merah yang menjuarai Liga Perdana (2000), Piala FA (2001) dan Piala Malaysia (2002).

Namun, Mohamed Azmin dalam kapasitinya selaku Presiden FAS, sebelum ini sudah kerap mengulangi kepada timbalan presiden dan Exco bahawa persatuan itu perlu diurus secara profesional oleh mereka yang bukan saja cekap, malah sangat komited dalam misi untuk menyaksikan kejayaan jangka panjang Selangor.

Dengan perbuatan tuding-menuding kepada satu sama lain kini semakin rancak, ia akan menjadi menarik untuk diikuti sama ada Abdul Mokhtar akan terselamat dalam gelombang rombakan kali ini.



Advertisement

Must Watch Video