Skip to main content

Rencana

Dhia membanting lawan dengan senyuman

271216-dhiaaul-amal2.jpg
“Saya pancit tapi saya teruskan juga dalam senyuman”, seloroh Dhiaaul Amal atau Dhia yang memang sentiasa mengukir senyum dalam apa jua keadaan.

Perit-jerihnya berbalas apabila Dhia diumumkan pemenang menewaskan lawannya, Alvin Ramirez dari Filipina, dalam pertarungan separuh akhir kategori bantamweight Kejohanan Dunia OneSilat di Stadium Titiwangsa pada 25 Disember lalu.

Dhia kini hanya setapak lagi untuk bergelar juara dunia apabila beraksi di pentas akhir sekitar Mac tahun hadapan.

Menyorot semula pertarungannya, Dhia menamatkan saingan tiga pusingan itu -- lima minit setiap satu – mengatasi Ramirez yang diibaratkan satu pertarungan yang cantik dan aksi yang memukau.

Ditanya selepas pertarungannya, Dhia  mengakui bahawa sukar untuk menjatuhkan Ramirez, lebih-lebih lagi lawannya itu adalah pesilat nombor satu Filipina.

Ada satu ketika, kedua-duanya terikat tanpa boleh melakukan apa-apa selain hanya melepaskan diri dari kunci silat.

Namun, Dhia yang dilihat begitu ligat dan memperjuangkan segala kepakaran yang ada, berjaya meloloskan diri. 

Selain sepakan dan tumbukan padu yang silih berganti daripada kedua-dua pesilat, sudah pasti terdapat kesukaran dalam pengiraan markah.

Pada pusingan ketiga, Dhia dilihat kepenatan dan perkara itu diakuinya sendiri.

“Ya, saya pancit. Tapi saya teruskan juga walaupun dalam senyuman,” katanya yang tersirat seribu kepuasan selain menjadi motivasi terbaik memburu kejuaraan dalm pertarungan peringkat akhir nanti.

Secara keseluruhannya, Kejohanan OneSilat World Championship 2016 peringkat separuh akhir telah mendapat sambutan yang baik.

Pertarungan yang melibatkan lima kategori, iaitu bantamweight, featherweight, flyweight, middleweight dan lightweight itu menyaksikan empat pesilat negara berjaya mara ke peringkat separuh akhir.

Selain Dhiaaul Amal, dua lagi pesilat Malaysia yang akan ke peringkat final adalah Muhammad Arif Izzudin yang menewaskan rakan senegara Muhammad Fouzein, dan Aswad Khalid.
 
Berbeza dengan Arif Izzudin dan Dhiaaul Amal, Aswad dari kategori lightweight  mara ke pentas final setelah menang tanpa bertanding apabila lawannya, Mustadi dari Indonesia, menarik diri akibat masalah kesihatan.
 
Gerak tempur yang dibawakan OneSilat World Championship yang dimulakan dengan beberapa bunga silat, bertujuan menaikkan lagi martabat silat di mata dunia.

Sesuatu yang cukup menyeronokkan apabila menyaksikan pesilat luar negara, antaranya dari Uzbekistan, Iran dan Filipina, beraksi persis pahlawan Melayu zaman dahulu kala.

Inisiatif ini sesungguhnya sesuatu yang perlu disokong oleh pencinta sukan bela diri.
 
Di samping itu, hadiah yang ditawarkan juga cukup lumayan dengan mempertaruhkan USD10,000 bagi setiap kategori.
 
Selain mengalu-alukan penonton yang datang merasakan sendiri suasana kejohanan tanpa dikenakan bayaran, Astro Arena juga merupakan penyiar rasmi bagi Kejohanan Dunia OneSilat.

Debaran final sudah bermula dan wira silat akan dapat kita saksikan tidak lama lagi. Siapakah yang akan bergelar juara Kejohanan Dunia OneSilat 2016?

Harap-harap senyuman Dhiaaul Amal akan bertambah melebar ketika itu.

Advertisement

Must Watch Video