Skip to main content

Rencana

Dhabitah penyelamat maruah

dhabitah-terjun-3.jpg
Skuad terjun negara terpaksa menunggu hingga pusingan terakhir Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA untuk meraih pingat.

Gangsa Nur Dhabitah Sabri menerusi acara 3 meter papan anjal individu wanita jadi penyelamat selepas Pandelela Rinong dan rakan-rakan bergelut untuk raih pingat pada empat pusingan awal.

Untuk rekod, Siri Dunia 2019 diadakan di lima venue iaitu Sagamigahara (Jepun), Beijing (China), Montreal (Kanada), Kazan (Rusia) dan London (England).

Apa yang membimbangkan, penguasaan Malaysia dalam kejohanan bertaraf lima bintang ini kian merosot.

Tiada wakil negara dalam ranking podium 10 acara walaupun kita pernah hebat dalam acara 10 meter platform seirama wanita dan saingan sama untuk individu.

Kedudukan Malaysia dipintas Korea Utara termasuk Kim Mi-Rae dalam acara individu. Adakah ini petanda menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020?

Perlu diingatkan, Siri Dunia hanya membabitkan lapan penerjun ranking terbaik dunia sekali gus dianggap sebagai mini Sukan Olimpik.

Sebagai perbandingan, Pandelela/Cheong Jun Hoong menamatkan musim 2015 di ranking ketiga 10 meter platform seirama wanita sebelum raih perak di Sukan Olimpik Rio, setahun kemudian.

Empat tahun terdahulu, Pandelela menamatkan cabaran di ranking ketiga 10 meter platform individu sebelum raih gangsa Sukan Olimpik London, pada tahun sama.

Namun, saingan pemanas badan kali ini tidak menunjukkan gambaran jelas mengenai peluang Malaysia.

Mungkin kita perlu menunggu sehingga Jun Hoong pulih kecederaan lutut untuk bentuk gandingan mantap semula bersama Pandelela.

Saya fikir penerjun negara tiada masalah untuk layak ke Tokyo. Tetapi, status mereka bukan sekadar penyertaan.

Masih ada masa untuk bangkit dan saya harap, tempoh 14 bulan menuju Sukan Olimpik Tokyo digunakan sebaik mungkin untuk garang semula.
 

Advertisement

Must Watch Video