Skip to main content

Rencana

Debaran Pemain Harimau Malaysia

111116-a.jpg
Kurang daripada 10 hari sahaja lagi, cabaran skuad negara dalam kempen Piala Suzuki AFF 2016 di Myanmar akan bermula.

Ketika ini, skuad negara giat menjalani latihan dan terbaru mereka mengadakan perlawanan latihan menentang skuad bawah 22 tahun negara bimbingan Frank Bernhardt di padang Wisma FAM Kelana Jaya, pada Jumaat.

Ia juga dianggap aksi pemanas badan sebelum pertemuan menentang Papua New Guinea untuk aksi perlawanan persahabatan antarabangsa "A" di Stadium Shah Alam, Isnin ini.

Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan padang basah itu berkesudahan 4-3 memihak skuad 'abang' dengan gol-gol skuad negara dihasilkan oleh Amri Yahyah, Shahrom Kalam, Syazwan Zainon dan Zaquan Adha Abdul Radzak.

Antara yang mencuri tumpuan selain gol cantik Syazwan, penjaga gol ketiga Hafizul Hakim diberi peluang beraksi buat kali pertama walaupun perlawanan itu bukanlah aksi bertaraf antarabangsa.

Khidmat Khuzaimi Piee dan Daren Lok turut diuji apabila kedua-dua pemain itu diturunkan dalam kesebelasan utama tetapi nasib malang pula menimpa Khuzaimi apabila mengalami kecederaan hamstring pada awal babak pertama.

Jika pertahanan Melaka itu gagal pulih dalam masa terdekat, pengendali negara Datuk Ong Kim Swee akan memanggil pemain dalam senarai bersedia, mungkin Khair Jones juga dari Melaka.

Ketika ini, hanya khidmat Nasir Basharuddin sah akan diketepikan ekoran kecederaan sekaligus mengundang tanda tanya nama dua pemain lain yang akan digugurkan.

Berdasarkan situasi semasa, kedudukan Safawi Rasid dan S. Venood tampak tergugat berikutan percaturan Kim Swee yang mempertaruhkan Amri Yahyah di bahagian sayap dan Shahrul Saad selaku pemain tengah bertahan.

Malah, Safawi tidak mendapat peluang untuk beraksi ketika pertemuan menentang skuad bawah 22 tahun negara tatkala pemain sayap lain seperti Syazwan, Zaquan Adha Abdul Radzak dan Hadin Azman cemerlang dengan persembahan masing-masing.

Walaupun berada dalam situasi sukar, bintang baru Johor Darul Takzim itu masih berpeluang untuk membuktikan sesuatu termasuk pemain lain dalam perlawanan menentang Papua New Guinea untuk menganggotai skuad akhir 23 pemain ke kejohanan AFF kali ini.

Kredit Imej: OfficialHarimauMalaysia

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found