RENCANA
Dari Poland hingga ke Sarawak
Saya terkejut apabila empat atlit olahraga negara diketuai juara 100m remaja asia, Khairul Hafiz Jantan buat keputusan U untuk beraksi di Kejohanan Remaja Dunia dan Sukma Sarawak.
Ia membuktikan semangat juang atlit remaja negara walaupun terpaksa mengorbankan sambutan Aidilfitri.
Mereka perlu berangkat seawal 5 Julai (mungkin sehari sebelum Aidilfitri) untuk Kejohanan Remaja Dunia di Poland bagi menyesuaikan diri.
Iklan
Ketika umat Islam sibuk menganyam ketupat dan mengacau dodol, mereka pula terpaksa menggalas tugas negara.
Namun, itulah harga yang perlu dibayar untuk bergelar jaguh dunia.
Saya yakin, ia pengalaman pertama untuk keempat-empat mereka, Khairul, Badrul Hisham Abd Manap, Mohd Rizzua Haizad Muhamad dan R Kirthana.
Sebaik tamat acara di Poland, seorang demi seorang akan terus pulang ke Malaysia untuk menghadapi Sukma Sarawak - ia cabaran sebenar untuk mereka.
Bayangkan dengan perubahan waktu, tubuh mereka pastinya belum sedia untuk menghadapi satu lagi tugas besar.
Saya harap Institut Sukan Negara (ISN) menjalankan tugas mereka sebaik mungkin dengan menghantar dua pegawai mereka untuk memantau perkembangan atlit ini dari Poland hingga ke Sarawak.
Lebih menarik jika ada yang memecahkan rekod kebangsaan dan saya cukup berharap, Khairul atau Badrul memecahkan rekod 100m milik Watson Nyambek, 10.30s.
Buktikan wahai anak muda. Anda mampu menggalas tugas khas ini. Kejayaan di Poland, deretan emas di Sarawak, anda akan dijulang sebagai wira sukan negara.
Must-Watch Video