Skip to main content

Rencana

Dapatkan emas Jackie

jackie-wong-190517.jpg
Seorang atlit yang memiliki tahap disiplin tinggi, sanggup berlatih sendirian sebelum datangnya jurulatih yang berjaya mengeluarkan potensi sebenar.

Itulah Jackie Wong, jaguh baling tukul besi negara.

Dia memecahkan lagi rekod kebangsaan, kali ini dengan jarak 64.95m ketika merangkul pingat emas Kejohanan Olahraga Majlis Sukan & Kebajikan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) di Kangar, Perlis.

Apa yang menarik, ia kali ke-13 Jackie memecahkan rekod kebangsaan sejak kali pertama pada 2013.

Malah, ia kali kedua tahun ini Jackie memecahkan rekod kebangsaan.

"Saya tidak akan puas selagi belum raih pingat emas Sukan Sea. Sudah tiga kali berturut-turut saya hanya raih gangsa. Kali ini saya akan dapatkan emas," katanya.

Perjalanan Jackie dalam Sukan Sea cukup berliku.

Penampilan sulung pada 2011, dia dibayangi jaguh Thailand, Tantipong Phetchaiya hingga 2013.

Dua tahun lalu, muncul pula atlit naturalisasi Filipina, Caleb Stuart yang pecah rekod temasya dengan 65.63m.

Stuart akan turun mempertahankan kejuaraannya di Kuala Lumpur, namun setakat ini prestasinya tidak konsisten kerana akan turut beraksi dalam lempar cakera.

Saya lihat ia peluang terbaik Jackie untuk menamatkan penantiannya.  

Beberapa hari lalu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengumumkan mereka mampu raih sekurang-kurangnya tiga emas Sukan Sea menerusi Nauraj Singh (lompat tinggi), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

Tetapi, saya fikir mereka tercicir nama Jackie.

Atlit ini makin meningkat, dia akan mengatasi jarak 65m bila-bila masa dan tidak mustahil, akan menumbangkan Stuart di Stadium Nasional Bukit Jalil.  

Advertisement

Must Watch Video