Skip to main content

Advertisement

Rencana

Cristiano Ronaldo 2 Lionel Messi 2

bungkus.jpg
Tidak akan ada persaingan peribadi pusingan kelima di antara Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dalam Piala Dunia kali ini.

Satu-satunya persamaan yang tinggal hanyalah kedua-duanya – sama seperti rakan-rakan sepasukan Portugal dan Argentina serta peminat bola sepak di seluruh dunia – sekadar dapat menonton siaran langsung baki perlawanan pusingan 16 membawa kepada final di Moscow, 15 Julai ini.

Dua ikon bola sepak era moden ini sudahpun tersingkir daripada Piala Dunia, dengan Ronaldo dan Messi tidak terkecuali menanggung kekecewaan daripada kegagalan pusingan kalah mati yang dibezakan beberapa jam di antara mereka.

Tiada sesiapa di antara kedua-duanya yang dapat meneruskan sentuhan jaringan – Ronaldo dengan empat gol manakala Messi cuma satu – sambil Portugal dan Argentina masing-masing dikirim pulang lebih awal oleh Perancis dan Uruguay pada Sabtu lalu dan awal pagi semalam. 

Apakah Ronaldo dan Messi, masing-masing berusia 33 dan 31 tahun, akan kembali mewarnai Piala Dunia di Qatar empat tahun dari sekarang? Atau barangkali mereka sudahpun mengucapkan salam perpisahan kepada pentas tertinggi ini?



Messi jelas sugul ketika melucutkan lilitan kapten daripada lengannya sewaktu meninggalkan padang di Kazan buat kali terakhir, terus memasuki terowong pemain tanpa menoleh ke belakang lagi selepas kekalahan menyayatkan 4-3 kepada Les Bleus.

Dia telah memberikan segala-galanya dengan membuat dua bantuan jaringan dalam pertarungan dramatik itu tapi ia ternyata tidak mencukupi. 

Argentina jelas gagal memberikan Messi perkhidmatan yang sudah kerap diraihnya bersama Barcelona, sebaliknya dia hanya mempunyai empat sentuhan dalam petak penalti lawan yang disudahi cuma satu percubaan tepat. 

Mengimbau persaraannya selepas kecundang kepada Chile dalam final Copa America 2016 dan kembali semula untuk membantu kempen kelayakan Argentina ke Russia – hatriknya ketika menentang Ecuador dalam perlawanan terakhir mengesahkan slot mereka – pengunduran Messi selepas ini harus muktamad.

Di mana Messi kecewa dalam perhitungan pasukannya dengan Perancis, Ronaldo harus lebih menghampakan ketika memimpin Portugal bersingsing lengan dengan Uruguay. Di sebalik memiliki lebih peratus penguasaan, mereka tidak banyak mencipta apa-apa.

Ronaldo sekadar menyaksikan satu percubaannya dari penjuru petak penalti mudah diselamatkan Fernando Muslera sambil satu sepakan percumanya selepas itu gagal melepasi tembok pertahanan yang didirikan lawan.



Dan seperti Messi, tiada apa-apa lagi yang mampu dilakukannya untuk membantu Portugal mengelakkan kekalahan dalam pertemuan pusingan 16 itu.

Mendahului Messi 2-1 dalam persaingan peribadinya selepas tiga perlawanan, kedudukan terakhir harus terikat 2-2 berkisar kepada dua bantuan jaringan kapten Argentina itu – itupun atas markah kasihan.

Prospek pusingan kelima persaingan peribadi Ronaldo-Messi andai Argentina berdepan Portugal dalam pusingan suku akhir, Jumaat ini, hanya tinggal dalam bola sepak fantasi atau khayalan.

Advertisement

Must Watch Video