Skip to main content

Rencana

COVID-19 memberi impak ketara terhadap persiapan SUKMA XX Johor 2020

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sukma-johor.png

Sukan Malaysia atau SUKMA merupakan temasya sukan terbesar di Malaysia yang diadakan dua tahun sekali dan melibatkan atlet-atlet negeri yang berumur 21 dan ke bawah. Pada tahun ini, negeri Johor dilantik dan diberi peluang untuk menjadi tuan rumah buat kali yang kedua selepas julung kali penganjurannya pada tahun 1992.

Temasya ini adalah amat penting dalam usaha melahirkan lebih ramai lagi atlet berbakat dan berpotensi untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi, secara amnya Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik. Namun begitu, peningkatan bilangan kes COVID-19 pada saat ini telah mendatangkan kebimbangan kepada semua pihak terutamanya Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negeri.

Advertisement

Disebabkan jumlah penularan COVID-19 telah meningkat secara mendadak, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang bermula pada 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara. Arahan ini berkuatkuasa kepada seluruh agensi-agensi di dalam Malaysia termasuklah Kementerian Belia dan Sukan. Segala aktiviti-aktiviti yang telah dirancang terpaksa ditangguh dan ditunda bagi menyokong usaha kerajaan dalam mencegah jangkitan COVID-19.

Salah satu kesan yang disebabkan oleh penularan virus ini ialah persiapan atlet terganggu terutamanya dari segi latihan. Pada waktu ini, kebanyakan atlet masing-masing berada dalam prestasi terbaik mereka dan sedang menjalani sesi latihan pada fasa terakhir walaupun pemantauan daripada jurulatih dilakukan dengan kaedah atas talian. Persoalannya, adakah cara ini efektif kepada semua atlet?

Dalam hal ini, kelalaian sepanjang tempoh latihan atas talian berlangsung boleh berlaku, melainkan atlet-atlet tersebut benar-benar komited dan jujur untuk melakukan tugasan yang diberi. Seterusnya, tiada tempat latihan yang spesifik bagi atlet. Persiapan-persiapan SUKMA masih dijalankan oleh atlet-atlet walaupun pada saat ini ramai atlet terpaksa berlatih di tempat masing-masing. Tetapi ,mereka tidak mempunyai keperluan latihan secara teknikal. Contohnya, sukan terjun. Atlet-atlet sukan ini memerlukan kolam untuk menjalani latihan yang sempurna.

Situasi yang melanda ini turut memberi impak besar kepada bahagian pengurusan dan juga jurulatih. Mereka harus membuat banyak perubahan yang drastik dalam program latihan atlet. Seorang atlet seharusnya berada pada momentum dan tahap kecergasan yang memuaskan bagi mencapai matlamat. Oleh yang demikian, para atlet tidak digalakkan untuk menghentikan program latihan mereka walaupun masing-masing kini berada di kampung halaman.

Bahagian pengurusan dan jurulatih juga sukar untuk mengukur prestasi atlet bagi melihat sama ada berlakunya peningkatan ataupun kemerosotan atlet tertentu. Pengukuran tahap prestasi atlet biasanya akan dinilai melalui pertandingan-pertandingan yang disertai. Akan tetapi, banyak pertandingan-pertandingan dalam serta luar negara telah ditunda dan dibatalkan oleh kerana kes virus COVID-19 yang kini telah disahkan berada pada tahap pandemik.

Apabila situasi ini berlaku, perkara ini juga akan menjejaskan perbelanjaan pihak penganjur dan majlis-majlis sukan negeri. Pada saat ini, dimaklumkan bahawa persiapan-persiapan temasya SUKMA sedang berada pada peringkat terakhir. Segala keperluan-keperluan atlet serta tempat-tempat pertandingan semua sukan telah hampir siap sepenuhnya.

Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad mengatakan kerajaan negeri Johor akan terus mengawasi keadaan dari semasa ke semasa. Tuan rumah tidak merancang untuk menangguhkan SUKMA 2020, jadi ia masih mengikut jadual yang ditetapkan. Pihak penganjur juga telah menghantar jemputan ke tujuh negeri dan berharap acara itu dapat diteruskan.

Tetapi pada pendapat saya, jika penularan ini masih berlarutan, kemungkinan besar temasya sukan ini juga akan ditunda yang mana ianya boleh menyebabkan pertambahan kos perbelanjaan dan memberi kerugian kepada pihak-pihak yang terlibat terutamanya pihak penganjur. Hal ini jelas menjadi faktor besar terhadap persediaan-persediaan atlet dan pihak tertentu dalam menghadapi SUKMA akan datang.

Kesimpulannya, terang lagi bersuluh, penularan virus COVID-19 secara tidak langsung telah memberi impak ketara terhadap persiapan-persiapan Majlis Sukan Negeri dalam menghadapi Sukan Malaysia Johor yang berlangsung sepanjang 11 Julai sehingga 19 Julai 2020 nanti. Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak untuk memainkan peranan dalam membendung penularan COVID-19 yang masih belum menpunyai penawar.

Para atlet juga haruslah mencari inisiatif sendiri agar terus kekal aktif dalam tempoh kuarantin dan mengamalkan langkah-langkah mudah bagi mencegah jangkitan virus ini dengan mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan kerap membasuh tangan dengan menggunakan sabun dan air ataupun sanitizer.

Must Watch Video