Skip to main content

Rencana

Covid-19 gegar atlet negara

jackie-wong.jpg
Berita mengenai jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong positif Covid-19 mengejutkan arena sukan negara.

Dia dipercayai dijangkiti ahli keluarganya yang terlebih dulu positif penyakit itu.

Tetapi Jackie tetap tenang walaupun disahkan atlit pertama negara mengidap pandemik yang sudah membunuh puluhan ribu penduduk dunia itu.

“Saya OK dan berada dalam keadaan sihat. Terima kasih kerana mendoakan saya. Jangan bimbang,” katanya.

Itulah Jackie, tetap tenang dan merendah diri walaupun sudah 17 kali memecah rekod kebangsaan.

Dia kini dirawat di Hospital Sibu, Sarawak.

Kementerian Belia dan Sukan mengambil langkah drastik menutup MSN dan Institut Sukan Negara.

“Langkah ini untuk proses pembasmian/ sanitasi yang dijangka selesai dalam tempoh 2/3 hari. Atlit, jurulatih dan pegawai yang pernah bersentuhan dengan atlit itu sedang menjalani proses kuarantin di asrama".

“Mereka sudah menjalani ujian darah dan perlu mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata Menteri, Datuk Seri Reezal Marican Naina Merican.

Atlit negara terutama yang menginap di asrama MSN dinasihatkan berwaspada dan kerap mencuci tangan.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) juga sudah membatalkan semua sesi latihan, kejohanan tempatan dan antarabangsa walaupun sedar ia akan menjejaskan peluang atlit negara melepasi had kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Langkah ini terpaksa diambil. Keselamatan atlit negara jauh lebih penting,” kata Presiden KOM, Datuk SM Muthu.

Advertisement

Must Watch Video