Skip to main content

Rencana

Coutinho diterima semula di Anfield?

philippe-coutinho.jpg
Ketika ini, beberapa media arus perdana di England mula mengaitkan tonggak tengah Brazil, Philippe Coutinho, untuk pulang bersama bekas kelabnya, Liverpool.

Ia selepas kelabnya, Barcelona, membawa masuk bintang Perancis, Antoine Griezmann, dengan nilai perpindahan sebanyak €120 juta (RM557 juta) daripada Atletico Madrid.

Coutinho mengharungi musim hambar di Barcelona dan kemasukan Griezman kini menjadikan bintang Perancis itu sebagai tumpuan utama.

Liverpool, yang kini gah dengan reputasi sebagai juara Liga Juara-Juara Eropah sebanyak enam kali, dijangka tiada masalah untuk membayar perpindahan Coutinho kepada Barcelona jika benar mereka mahukannya.

Namun, sudah pasti Liverpool enggan membayar lebih daripada €142 juta (RM656.5 juta) yang dibayar Barca kepada mereka pada Januari 2018.

Persoalan juga timbul apakah pengendali pasukan, Jurgen Klopp, sedia menerima Coutinho semula?

Bagi penulis pula, jika Coutinho pulang ke Anfield, ia pasti akan menambah ramuan buat Klopp untuk sekali lagi mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Liverpool jelas memerlukan ramuan tambahan selepas hanya tewas dengan perbezaan satu mata kepada Manchester City dalam perebutan kejuaraan musim lalu.

Jika Coutinho kembali, ia juga mirip kepulangan bekas penyerang Liverpool, Ian Rush, pada 1988 selepas hanya semusim di Juventus.

Apapun, Klopp dikenali sebagai pengurus yang tidak mengambil mana-mana bekas pemainnya kembali.

Perasaan peminat setia The Reds juga perlu diambil kira sekiranya Coutinho diterima semula ke Anfield.

Perlu diingat, Coutinho bertegas mahu meninggalkan Liverpool pada 2018 ketika Klopp pada waktu itu sedang membentuk ramuan ampuh buat pasukan.

Jadi, meskipun peminat berasakan Coutinho mampu menambah kekuatan pasukan, secara realitinya, ia mungkin sukar buat peminat Liverpool dan Klopp sendiri menerimanya semula.

Advertisement

Must Watch Video