Skip to main content

Rencana

Corat-coret Myanmar: Minglaba!

adam-nay-pyi-taw.jpg
Salam sejahtera,

Tatkala seluruh bangsa sedang menumpukan kepada persiapan skuad Harimau Malaya menghadapi perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF di Hanoi, Sabtu ini, tahukah anda di Nay Pyi Taw pula, kini sekumpulan besar kontinjen Malaysia sedang berentap dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2018.


Nay Pyi Taw pasti mengundang kembali memori Sukan SEA 2013, Malaysia ketika itu membawa pulang 43 pingat emas, 38 perak dan 79 gangsa. 

Namun, cerita untuk 2018, Nay Pyi Taw kini kembali menganjurkan sukan untuk para siswa dan siswazah dari serantau Asia Tenggara.

Malaysia tidak terkecuali untuk mengambil kesempatan menghantar atlet elit negara. Ulasan lebih lanjut anda boleh membaca laporan harian Nadi Arena ataupun artikel terbaru dari penerbit, Aidie Ramlan.

Sebenarnya, ia merupakan pengalaman pertama saya membuat liputan di sini, dalam erti kata lain, tempat "jin bertendang”, dan tiada perkara lebih mustahak apabila hadir ke negara asing tanpa memikirkan tiga perkara ini, talian internet, soal makanan, dan waktu solat.

Sebelum bertolak ke Myanmar, saya dan tiga lagi kru Nadi Arena yang membuat liputan disini gigih membeli makanan, biskut, beras, makanan tin pelbagai resipi semuanya dimuatkan dalam kotak dengan beg pakaian, cuma Milo segera sahaja tertinggal di Malaysia, sebak betul rasanya.

Namun, syukur kepada Yang Esa, setibanya disini, sekretariat menjelaskan mereka sudahpun membawa tukang masak dari Malaysia, dan kami boleh menjamu selera di hotel tanpa rasa segan silu, bayangkan asam pedas ikan pari dihidangkan di Nay Pyi Taw.

Hal solat, tiada kerisauan, kerana sekretariat juga telah meminta pihak hotel menyediakan satu ruang besar untuk atlet muslim beribadat.

Oh, tahukah anda, malam 11 Disember lalu, turut diadakan skrin besar untuk menyaksikan perlawanan akhir pertama Malaysia menentang Vietnam di hotel, ada jugalah hiburan untuk atlet negara malam-malam. Untuk menyaksikan peristiwa malam itu, anda boleh terus tonton di youtube Astro Arena.

Baiklah, sampai disini sahaja terlebih dahulu, selamat.

Advertisement

Must Watch Video