Skip to main content

Rencana

Chua pasti tersenyum

chua-boon-huat-010817_1.jpg
Jam 5.02 pagi 1 Ogos 2013. Saya menerima mesej pengurus skuad hoki negara, George Koshy: "Ada kemalangan maut membabitkan pemain negara. Selepas menjalankan siasatan, malangnya ia membabitkan Chua Boon Huat. 

Berita itu pantas tersebar ke seluruh negara.

Saya sepatutnya tidak bertugas pada hari itu, namun diminta ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sekitar jam 8 pagi. Setibanya di sana, puluhan pengamal media sudahpun berkampung.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia ketika itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tiba tidak lama kemudian sebelum dikerumuni media.

"Ini satu kejutan. Kehilangan besar untuk hoki Malaysia. Tetapi, perjuangan akan diteruskan hingga ke Piala Dunia (2014)," kata Tengku Abdullah.

Sejurus tamat temubual, penolong jurulatih negara, Arul Selvaraj, yang baru keluar dari bilik mayat terus meraung. Dia antara individu terakhir bersama mendiang Chua.

Begitu juga dengan ketua jurulatih, Paul Revington. Mengalir air mata pengendali kelahiran Afrika Selatan itu walaupun baru beberapa bulan memegang jawatan itu. 

Sememangnya, 1 Ogos 2013 hari bersedih untuk hoki Malaysia.

Hari ini, nama Chua masih kuat dalam ingatan pemain negara.

Mereka masih ingat di mana tempat duduk Chua sebaik tiba di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. Gurau senda dan nasihat penyerang berbisa itu. 

Penyerang, Faizal Saari: "RIP CBH ..senior yg byk bg aku smngt dan tunjuk ajar .. #4years".

Penjaga gol, S Kumar: "Chua orang baik. Semua orang sayangkan dia. Sehingga hari ini saya masih tidak percaya dia sudah meninggal dunia".

Kakak mendiang, Melissa menghubungi saya memaklumkan mengenai upacara mengingati Chua pada 6 Ogos (Ahad) di Sekh Kia Eenh Temple, Jalan Gajah Berang, Melaka. 

"Saya harap awak dapat datang kerana awak rapat dengannya," katanya.

Malangnya, saya sibuk dengan persiapan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. Tetapi, saya akan cuba datang.

Bagi saya, Chua meninggalkan semangat juang tinggi buat The Malaysian Hockey Tigers. Ketenangan, kepimpinan dan 'slap hit' ciptaannya akan sentiasa diingati.

Jika mendiang masih hidup, dia pasti bangga dengan kejayaan Malaysia, layak ke Piala Dunia 2018, ranking ke-12 dunia dan muncul pasukan kedua terbaik Asia ketika ini.

Hanya satu lagi impian Chua yang akan dilaksanakan rakan sepasukan. Malaysia akan berjuang ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Living The Dream" Chua Boon Huat, penyerang hoki negara.

3 Mei 1980-1 Ogos 2013.

Advertisement

Must Watch Video