Skip to main content

Rencana

Chong Wei 'Person of The Year 2018'

lee-chong-wei.jpg
Dato’ Lee Chong Wei merupakan rujukan kehidupan.
 
Penulis memilih selebriti badminton negara sebagai Malaysia ‘Person of The Year 2018’.
 
Kanser Chong Wei pasti berita paling mengejutkan Malaysia 2018.
 
Tiada siapa yang menjangka atlet paling popular, paling gemilang dan pada tahap fizikal terbaik mengumumkan dia mengidap kanser hidung pada Julai 2018.  
 
Namun apa yang memberi inspirasi kepada semua adalah cerita kebangkitannya dan bagaimana pemenang 3 pingat perak Sukan Olimpik itu bertarung dari segi fizikal, mental, emosi dan spiritual, yang membolehkannya mungkin kembali berlatih pada awal tahun baru 2019.
 
Ketika mendapat berita buruk itu, Chong Wei dan keluarganya menangis, begitu juga para peminat yang tidak percaya kanser boleh menyerang atlet kesayangan mereka.
 
Chong Wei bukan sahaja dijadikan kamus rujukan bagaimana untuk muncul juara badminton, tetapi karakternya yang sentiasa bekerja-keras, displin, komited, rendah diri, tidak berputus-asa, perbaiki diri, tunjuk hormat, kasih sayang dan banyak lagi dijadikan pengajaran kehidupan seluruh rakyat Malaysia.
 
Setiap langkah dan mesej yang disampaikan Chong Wei didengari dan diikuti para peminat termasuklah platform kreatifnya untuk memberi inspirasi melalui filemnya, ‘Lee Chong Wei: Rise of the Legend’.
 
Tetapi dalam kegemilangan Chong Wei, tiada siapa yang menjangka, bukan Lin Dan yang memusnahkannya, tetapi, kanser.
 
Dari proses mendapat berita buruk daripada isteri juga bekas pemain no.1 perseorangan wanita negara, Datin Wong Mew Choo, kepada rawatan di Taiwan selain proses sukar menenangkan diri bahawa itulah hakikatnya, bukan perkara yang mudah untuk Chong Wei atau kepada sesiapa yang menghidapi penyakit kanser.
 
Dalam keadaan kurang sihat dan cengkung, Chong Wei memberanikan diri untuk mengeluarkan video kepada rakyat Malaysia dan peminat di dunia bahawa dia akan bertarung sekuat mungkin untuk mengalahkan kanser dan kembali bermain badminton selain ingin terus hidup buat keluarga tercinta.
 
“You beat cancer by how you live, why you live, and in the manner in which you live..”
 
Dalam beberapa jam lagi, tahun baharu 2019 akan tiba, di sini penulis dan bagi pihak warga Astro Arena ingin mengucapkan semoga Chong Wei sihat sepenuhnya bersama keluarga tersayang.
 
Terima kasih kerana memberi sinar harapan dan inspirasi kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia.
 
Selamat Tahun Baharu 2019!

Advertisement

Must Watch Video