Skip to main content

Rencana

Cerminan Ronaldo-Rashford

marcus-rashford-cristiano-ronaldo.jpg
Beberapa hari selepas tercetusnya hatrik hebat daripada pemenang anugerah Ballon D'Or, Cristiano Ronaldo, siapa sangka aura sama dapat dilihat pada pemain berusia 19 tahun, Marcus Rashford ketika bantu Manchester United dalam pemburuan satu-satunya trofi musim ini.

Bukan hatrik. Pentas pun berbeza.

Ironinya,  cerminan kedua-dua pemain ini kelihatan pada beberapa segi.

Sebaik sahaja selesai pertemuan dengan Celta Vigo, pengendali United, Jose Mourinho memberitahu kepercayaannya kepada Rashford adalah seiring dengan usaha pemain muda itu. 

Rashford bekerja keras untuk mendapat peluang mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zlatan Ibrahimovic yang cedera. Rashford juga sering menjadi pemain terakhir yang meninggalkan sesi latihan. Malah kebiasaannya, dia memperuntukkan lebih sejam untuk menajamkan kemahiran sepakan percumanya.

Sepakan percuma juga menjadi jaringan pertama yang dicetak Ronaldo ketika mula menyarung jersi United pada 2003. Ketika itu, nama Ronaldo menjadi tular di seluruh dunia kerana menjadi pemain remaja paling mahal dalam sejarah bola sepak inggeris dengan kos perpindahan 12.24 juta pound dari Sporting Gijon. Kemasyhuran dan kemewahan sememangnya sebati dalam diri Ronaldo. 

Namun keistimewaan memakai jersi nombor 7 yang pernah digunakan George Best, Eric Cantona dan David Beckham tidak melalaikan fokus bintang Portugal ini.

Persaingan sengit dan keghairahan mahu menjadi yang terbaik dalam skuad Sir Alex Ferguson kekal menjadikan Ronaldo seorang yang lebih daripada semua segi. Jika pemain lain leka dibuai publisiti yang datang tanpa diminta sehingga kadangkala terlepas pandang jadual latihan yang padat, Ronaldo pula berbeza kerana semakin meningkat usianya, semakin dia meluangkan lebih masa untuk memperhalusi kemahiran yang sudah di miliki.

Mungkin segala yang didedahkan hanyalah kebetulan yang di miliki dalam diri dua pemain yang ada tempat istimewa dalam pasukan The Red Devils tetapi jika benar gerak gaya dan mentaliti yang di miliki Rashford adalah cerminan Ronaldo, sesungguhnya United sudah pun memiliki kayu sakti dalam genggaman.
 

Advertisement

Must Watch Video