Skip to main content

Rencana

Cara Pogba melawan

paul-pogba-3-0.jpg
Nampaknya selepas pengumuman Real Madrid untuk tidak lagi fokus mendapatkan Paul Pogba musim hadapan, pemain kelahiran Lagny Sur Marne, Perancis itu cuba mengingatkan dunia bola sepak mengapa khidmatnya perlu dibayar dengan harga tinggi.

Tiada sebarang kesilapan dilakukan Pogba ketika berada di posisi satu-lawan-satu dengan penjaga gol West Ham United, Lukasz Fabianski dalam menyempurnakan 2 sepakan penalti dari jarak 12 ela - menyumbang kepada kemenangan 2-1 Manchester United di Old Trafford.

Situasi ini cukup berbeza jika dibandingkan ketika khabar angin mula-mula bertiup - ada pasukan gergasi sedang mengintai peluang untuk berunding dengan pihak pengurusan The Red Devils bagi penghijrahannya ke Sepanyol - dimana Pogba gagal melunas sepakan penalti pada aksi menentang Burnley, Everton dan Southampton.

Perkara ini turut mendapat perhatian Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer dimana dalam sidang media selepas pertemuan United-West Ham, jurulatih dari Norway itu akui dia sentiasa memberi kepercayaan kepada Pogba untuk mengambil sepakan penalti walaupun menjadi mangsa kecaman ramai sejak awal musim.

"Saya serahkan kepada Pogba, asalkan sepakan penalti itu menghasilkan gol tetapi saya suka cara Pogba berlari ke arah bola dan menyepaknya ke gawang."

Sedikit sentuhan segar kelihatan disuntik oleh Pogba ketika terus memperkuatkan kesebelasan terbaik United dan peluang yang terbuka luas untuk menjadi wira pasukan pada minit ke-80, benar-benar menyerlahkan aura Pogba dalam mengelirukan Fabianski yang masih gagal menolak keluar bola walaupun berjaya menjatuhkan badan ke arah yang tepat.

"Pogba kelihatan kerap berlatih mengambil sepakan penalti. Pogba memang memiliki keyakinan tinggi dan mental yang kuat."

Solskjaer pastinya berterima kasih kepada Real Madrid yang tanpa berselindung, menyatakan mereka mungkin tidak mampu membayar nilai perpindahan Pogba dan kembali mengganggu Tottenham Hotspur untuk menyambung hasrat mendapatkan Christian Eriksen dalam melengkapkan rombakan dibawah kendalian semula Zinedine Zidane.

Selain itu, laman web rasmi Real Madrid, turut berkongsi kegusaran untuk pemain berusia 26 tahun itu menyesuaikan diri dengan skuad menerusi personalitinya yang dominan.

Pogba pernah mencetus sensasi apabila muncul pemain yang merekod nilai perpindahan tertinggi dari Juventus - mengatasi harga yang pernah dibayar kepada Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo - ketika kembali ke pangkuan United pada Ogos 2016. 

Pogba menandatangani kontrak 5 tahun bernilai 89.3 Juta Pound dengan tambahan 5 Juta Pound sebagai bonus - setelah 4 musim berkelana di Itali dengan menjaringkan 28 gol dalam 124 penampilan.

Pogba yang mendapat perhatian Sir Alex Ferguson ketika remaja pernah dilabel sebagai 'pemain yang tidak mengenang jasa' apabila membelakangkan pasukan ketika mengambil keputusan meninggalkan Liga Perdana Inggeris - selepas setahun di 'naikkan pangkat' oleh pengurus terhebat sepanjang zaman itu sendiri pada 2011

Advertisement

Must Watch Video