RENCANA
Cakaran mana lebih mencengkam, taring siapa lebih menikam?
Kurang satu minggu dari sekarang, dua gergasi dari Sepanyol, Atletico Madrid dan Real Madrid akan bertemu untuk menentukan siapakah bakal merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah(UCL) bagi musim 2015/16. Setelah kedua-dua pasukan gagal untuk mengatasi Barcelona bagi menjuarai La Liga musim ini, sudah pasti pasukan dari Madrid ini akan bertarung habis-habisan untuk merebut trofi paling berprestij di Eropah.
Apa yang menarik, perlawanan kali ini merupakan kali kedua-dua pasukan bertemu di peringkat akhir, setelah Real Madrid mengatasi Atletico 2 tahun lepas dengan jaringan 4-1.
Real Madrid dan penglibatan di Liga Juara-juara sememangnya sinonim. Pemegang rekod pemenang terbanyak kejohanan, pusingan akhir kali ini adalah pusingan akhir ke-14 mereka, dan hanya tewas tiga kali di pusingan akhir sebelum ini.
Iklan
Di atas kertas, perjalanan Real ke pusingan akhir tampak lebih mudah berbanding Atletico.
Menjuarai kumpulan dengan mencatat 5 kemenangan dan 1 seri, Real Madrid menewaskan Roma, Wolfsburg dan terakhir Manchester City di peringkat separuh akhir dengan agregat 1-0 sebelum melangkah ke pusingan akhir.
Pengurus Zinedine Zidane sudah pasti akan mengharapkan trio tambatan Real, Karim Benzema, Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo (BBC) cerdas dan bebas dari sebarang kecederaan untuk memecah benteng pertahanan Atletico Madrid yang begitu kebal musim ini.
Ternyata Ronaldo akan sekali lagi menjadi taruhan bagi peminat Real Madrid. Menjaringkan 16 gol di UCL musim 2015/2016, penyerang Portugal itu dalam keadaan terbaik apabila turut menjaringkan dua gol pada perlawanan terakhir La Liga.
Walaubagaimanapun, apa yang merunsingkan Real adalah barisan pertahanan mereka yang tampak goyah dalam beberapa perlawanan musim. Namun bagi Bale dan Ronaldo, ini mungkin menjadi perlawanan penting untuk memenangi satu trofi musim ini.
Bagi Atletico Madrid, pencapaian ke pusingan akhir dua kali dalam masa tiga musim adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan bagi pasukan kendalian Diego Simeone.
Tatkala pasukan gergasi seperti Bayern Munich, Manchester City dan Barcelona sering memperkukuhkan pasukan dengan pemain ternama, Simeone terus menyerlah dengan pasukan beliau yang diketuai veteran Fernando Torres dan penyerang berbisa Perancis Antoine Griezman.
Prestasi Atletico musim ini boleh dikatakan sangat cemerlang.Walaupun gagal menjuarai sebarang trofi setakat ini, mereka sentiasa memberi saingan sengit kepada Barcelona di saingan La Liga.
Prestasi penjaga gol, Jan Oblak beraksi cemerlang,hanya melepaskan enam gol sepanjang musim UCL. Dibantu dengan prestasi membanggakan yang ditunjukkan Fernando Torres dan juga prestasi konsisten Antoine Griezmann, Atletico meletakkan mereka sebagai pasukan paling digeruni di Eropah buat masa ini.
Griezman sudah menjaringkan 32 gol, 7 di UCL, dan pertahanan Real perlu berhati-hati dengan penyerang Perancis ini jika mereka ingin mengekang Atletico.
Kejayaan Atletico ke pusingan akhir juga dipuji ramai atas kejayaan mereka untuk mengatasi gergasi-gergasi Eropah dipusingan kalah mati.
Menyingkirkan Barcelona di peringkat suku akhir dan bermain cemerlang sewaktu menentang Bayern Munich diseparuh akhir, tidak mustahil untuk Atletico membuat kejutan dan mencatatkan kemenangan sulung mereka di peringkat Eropah.
Milan akan menyaksikan pertemuan Madrid-Derby ini tanggal 29 Mei dan biar siapapun pemenang pada penghujung perlawanan, tiada siapa boleh menafikan kehebatan kedua pasukan ini yang berhak berada di final Liga Juara-Juara musim 2015/16.
Must-Watch Video