Skip to main content

Rencana

"Cabaran TSC kekalkan momentum bagi Musim 2018"

zawawi171017.jpg
Team Sapura Cycling (TSC) hanya baharu ditubuhkan pada 2017 tetapi mereka telahpun mengecapi pelbagai kejayaan sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Sudah pasti jangkaan amat tinggi buat mereka untuk terus menyinar pada tahun 2018 dan inilah waktu yang amat kritikal buat TSC supaya dapat kekalkan momentum.

Meneliti kembali pada permulaan tahun 2017, TSC dibentuk sebagai sebuah pasukan bertaraf 'Benua' dengan membariskan pelumba-pelumba seperti Zawawi Azman, Izzat Hilmi Abdul Halil, Akmal Hakim Zakaria, Muhsin Al Redha Misbah serta Fitri Saharil.

Mereka turut dibantu teraju import seperti Wilmar Jahir Perez dan Victor Nino Corredor dari Colombia serta pelumba Indonesia, Aiman Cahyadi.

Gandingan ini disifatkan pencabar yang cukup baik untuk memberi saingan kepada satu lagi pasukan benua negara, iaitu Terengganu Cycling Team (TSG).

Antara pencapaian terbaik TSC adalah kejayaan Perez menduduki tempat kedua Raja Bukit (KOM) pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL 2017).

Di samping itu, Zawawi pula muncul pelumba tempatan terbaik pada saingan Jelajah Malaysia 2017 dengan TSC muncul juara berpasukan dengan Corredor raih kedudukan kedua keseluruhan.

Sementara itu, bagi beberapa perlumbaan lain misalnya, Akmal memenangi satu peringkat di Tour of Molvcass di Indonesia selain Izzat dan Fitri berjaya menjejak podium dalam perlumbaan Tour de Banyuwangi Ijen.

Malah, pasukan ini juga pernah mengadakan kem latihan di Eropah dengan menyertai beberapa siri perlumbaan di sana.

Lantas harapan sama kini disandarkan buat TSC untuk mengulangi atau melakukan yang lebih baik pada musim kedua mereka dalam siri Jelajah UCI dan Asia 2018.

Ini termasuk sasaran menempatkan diri mereka dalam kalangan 20 terbaik pasukan Jelajah UCI dengan status pasukan Pro Benua turut dijadikan matlamat utama dalam tempoh enam tahun ini untuk melayakkan mereka beraksi dalam perlumbaan berprestij seperti Tour de France.

Bagi persediaan awal, mereka telah mengikat dua pelumba TSG, Adiq Husainie Othman serta Nur Aiman Mohd Zariff untuk perkuatkan lagi pasukan.

Adiq mempunyai reputasi besar dalam kariernya termasuklah menjadi pelumba Asia terbaik dalam saingan LTdL 2016 manakala Aiman merupakan pelumba muda yang sedang meningkat.

Di samping itu, tiga lagi pelumba import juga telah sah menyertai TSC iaitu Dylan Page (Switzerland), Jesse Ewart (Australia) serta Mario Vogt (Jerman).

Jika dilihat kepada perancangan TSC, tidak mustahil Malaysia dapat menyaksikan wakilnya beraksi dalam perlumbaan bertaraf "Grand Tour" sedikit masa lagi.

Juga apa yang lebih penting, ia dapat memastikan sukan berbasikal lebuhraya negara terus mempunyai barisan pelumba yang berkaliber untuk menyahut cabaran bersama Malaysia.
 

Advertisement

Must Watch Video