Skip to main content

Rencana

Bukan senang Leicester nak kekalkan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

leicester-city-inspired-the-world-says-solbakken.jpg

Penyandang juara Liga Perdana Inggeris, Leicester City, dilihat bergelut untuk mempertahankan kejuaraan liga apabila hanya mampu mencatatkan tiga kemenangan daripada 11 perlawanan yang sudah berlangsung setakat ini.

Kekosongan yang ditinggalkan N'golo Kante jelas dirasai bukan sahaja para pemain tetapi juga peminat setia The Foxes yang turut hampa apabila pasukan kesayangan mereka tidak mampu tampil garang dalam setiap perlawanan liga. 

Selain itu, gandingan Riyad Mahrez dan Jamie Vardy juga dilihat terkesan dengan ketiadaan Kante yang selama ini banyak memberikan bantuan dari segi bertahan dan menyerang.

Malah, tiga  kemenangan yang diraih dalam saingan liga hanyalah ke atas pasukan kurang menyerlah, iaitu Burnley, Swansea City dan Crystal Palace -- ini amat memeningkan kepala pengendali mereka, Claudio Raneiri. 

Pengendali kelahiran Rome itu pasti sedar mempertahankan kejuaraan liga bukanlah suatu yang mudah, apatah lagi dengan saingan kelab-kelab utama yang berbelanja besar dan ditambah pula berkumpulnya jurulatih-jurulatih ternama dunia yang kini berkelana di England seperti Pep Guardiola.

Mungkin pasukan Leicester City musim ini harus realistik dengan keadaan semasa dan biarpun membawa nama-nama baru seperti Ahmed Musa, Nampalys Mendy dan Islam Slimani, mereka masih tetap bergelut untuk muncul antara pasukan yang menggungguli carta liga.

Namun, di sebalik perjalanan sukar dalam  liga, ada perkara yang menghadirkan sedikit keceriaan kepada Leicester City, iaitu persembahan cemerlang mereka dalam Liga Juara-Juara Eropah apabila mencatatkan rekod tanpa tewas dengan tiga  kemenangan tanpa bolos.

Dengan keadaan semasa, mungkinkah Raneiri akan merubah sasaran utama The Foxes dengan memberikan tumpuan lebih kepada saingan Liga Juara-Juara Eropah? 

Atau mereka masih lagi percaya dengan keupayaan pemain sedia ada untuk kembali mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris bagi musim 2016 ?

Advertisement

Must Watch Video