Skip to main content

Rencana

Bukan senang jadi atlet selebriti bro!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lee-chong-weic50c6b093d81604aa734ff0000212b38.jpg
Kejayaan menakjubkan datang dengan insentif besar dan status selebriti.

Ada yang suka dan ada yang tenggelam.

Di Malaysia, ramai atlet berbakat menjadikan sukan sebagai karier.

Apabila dijadikan karier, secara langsung sukan merupakan platform bagi atlet mencari nafkah hidup dan sama ada suka atau pun tidak, dorongan untuk berjaya kerana wang ringgit menjadi salah satu misi penting.

Namun, ini tidak sama sekali memberi kesan kepada semangat patriotik dan taat setia atlet kepada negara.

Masyarakat perlu faham inilah situasi seorang atlet sepenuh masa.

Kejayaan besar seperti pasukan badminton menjuarai Piala Thomas 1992, juara bola sepak Piala AFF 2010, status nombor 1 dunia Datuk Lee Chong Wei, juara dunia lapan kali Datuk Nicol David, Pandelela Rinong menjadi atlet wanita negara yang pertama memenangi pingat di Olimpik (Gangsa di London 2012) dan tiga pingat emas Paralimpik 2016 di Brazil oleh Mohamad Ridzuan Puzi, Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly.

Apapun, sememangnya ada impak terhadap atlet yang menikmati kejayaan, habuan dan status selebriti sekelip mata.

Untuk laporan istimewa di Nadi@1 pada Sabtu baru-baru ini, saya mengetengahkan kesan terhadap psikologi atlet hasil daripada kejayaan besar itu.

Soal selidik daripada sekumpulan atlet Program Podium negara, kesemuanya bersetuju kejayaan itu memberi keyakinan dan kepercayaaan diri.

Selain itu, emosi seseorang atlet juga pada tahap positif kerana perasaan bangga dan gembira dirasai oleh mereka.

Namun, apabila persoalan tentang bagaimana kejayaan memberi impak kepada kelakuan semasa dan perancangan kewangan, mereka memberi pendapat yang berbeza tetapi menarik.

Mereka berpendapat ada sesetengah atlet yang berkemungkinan terkejut setelah dilimpahi dengan wang ringgit, tanah, rumah dan hadiah yang lain. 

Selain itu sukar menyesuaikan diri kerana tiba-tiba setiap langkah mereka diikuti ramai.

Segelintir masyarakat pernah meluahkan kerisauan mereka jika atlet diberi insentif keterlaluan dan terlalu terdedah dengan tumpuan media dan peminat.

Dari sudut psikologi sukan, ada kemungkinan atlet itu akan berada di dalam gelombang baru sehingga sukar untuk kembali ke dunia realiti, sekali gus menukar mereka menjadi seorang yang sombong, hilang tumpuan dan ada yang mengalami kemurungan.

Bagi atlet negara yang melalui situasi sebegini dan inginkan kejayaan berterusan secara konsisten, ada baiknya Kementerian Belia dan Sukan bersama-sama Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara menyediakan perkhidmatan melalui mentor yang dipercayai. 

Ia sesuai untuk atlet itu bagi mendapatkan nasihat bagaimana untuk melalui ‘durian runtuh’, membuat perancangan hidup dan masih bersemangat untuk menempa kejayaan seterusnya.

Apapun, bukan senang nak jadi atlet terbaik dan bukan senang jadi atlet selebriti bro!

Advertisement

Must Watch Video