Skip to main content

Rencana

Buffon julang Mbappe

buffon.jpg
Legenda Itali, Gianluigi Buffon, yang baru menyertai Paris Saint-Germain (PSG) PSG pada musim ini, memberikan pujian kepada bintang muda, Kylian Mbappe, sebelum bermulanya saingan liga musim 2018/2019. 

Buffon yang pertama kali bertemu Mbappe sewaktu perlawanan Juventus berdepan AS Monaco berkata, rakan-rakannya di benteng pertahanan seperti Andrea Barzagli kagum dengan kepantasan yang dimiliki Mbappe.

Kylian Mbappe yang meledakkan gol pada perlawanan akhir Piala Dunia muncul pemain kedua termuda melakukannya selepas Pele. Beliau juga dilihat bakal menjadi bintang utama bagi skuad Perancis untuk beberapa tahun akan datang memandangkan beliau baru berusia 19 tahun.

Memulakan karier remaja bersama pasukan AS Bondy selama 9 tahun, bakatnya dikesan AS Monaco pada 2013 dan penampilan pertamanya bersama skuad senior AS Monaco adalah pada 2015. Namun, apa yang melonjakkan namanya di pentas dunia adalah pada aksi Liga Juara Juara Eropah apabila kelibatnya mula digeruni pemain pertahanan dari kelab elit dunia.

Bagi penulis, jika seorang pemain seperti Gianluigi Buffon memuji seorang pemain muda, itu bermakna pemain muda itu  memang seorang yang benar-benar bagus. Bukan mudah bagi Buffon menghamburkan pujian, apatah lagi Mbappe bukanlah seorang pemain Itali.

Penulis juga mengikuti persembahan baik Mbappe bersama PSG musim lalu, selain aksi cemerlang di Rusia pada Piala Dunia. Cuma, penulis gusar segala yang dimiliki kini akan menjejaskan prestasinya di atas padang.

Sebagai contoh, lihat saja apa yang berlaku kepada Mario Gotze yang dijulang apabila menjaringkan gol kemenangan Jerman dalam aksi final Piala Dunia 2014, namun prestasinya terus merudum selepas itu sehingga disisihkan dari kesebelasan utama kelab dan juga negara.

Buat Mbappe, tidak keterlaluan andai penulis katakan beliau akan menjadi bintang yang sebaris dengan legenda Perancis seperti Zinedine Zidane dan Thierry Henry sekiranya mampu konsisten dengan aksi di atas padang, selain bebas dari masalah luar padang.

Advertisement

Must Watch Video