Skip to main content

Rencana

Budak gemuk

matthijs-de-ligt-ajax-2018-19_14i7d8nu0hrsg1dsltn2j09edy.jpg
Matthijs de Ligt nama yang semakin meniti di bibir peminat bola sepak seluruh dunia atas kredibiliti sebagai Kapten dan pertahanan berkaliber buat Ajax Amsterdam meskipun hanya berusia 19 tahun.

Bagi yang mengekori rapat perkembangan bola sepak antarabangsa, de Ligt bukanlah nama yang asing memandangkan gergasi eropah aktif memburu khidmatnya.

Kelab kesayangan saya, Manchester United, adalah salah satu daripada pasukan yang tidak ketinggalan untuk menyunting bakat kelahiran Leiderdrop, Belanda itu.

Akan tetapi, United, yang kini lebih selesa beroperasi sebagai "platform komedi" kepada seteru-seteru lain sebenarnya terlepas peluang untuk menyambar de Ligt lebih awal.

Ini semua gara-gara kegusaran dalam laporan daripada kem peninjau bakat United yang  de Ligt memilki kebarangkalian untuk mengalami masalah berat badan serius seperti bapanya, Frank.

Dalam dunia yang penuh dengan teknologi serta pengaplikasian sains sukan canggih membabitkan nutrisi dan pemakanan, ini adalah sesuatu yang melucukan.

Takkanlah United tidak mampu untuk menjaga fizikal dan kecergasan pemain yang memiliki bakat luar biasa seperti de Ligt sekalipun keturunannya obes.

Ironinya, United sebenarnya memiliki pemain yang mengalami masalah berat badan ketika ini seperti Luke Shaw dan Wayne Rooney sebelumnya.

Geram memikirkan hakikat bahawa United juga melepaskan peluang menandatangani seorang lagi bintang dalam pembikinan dari Ajax, Frenkie de Jong, yang bakal menyarung jersi  Barcelona.

Hakikatnya, sehebat mana nama Manchester United, tidak akan ada pemain muda yang mengimpikan untuk beraksi buat kelab yang menamatkan kempen domestik di tangga keenam dan beraksi di Liga Europa kecuali United adalah impiannya.

Selain harga perpindahan yang tidak masuk akal untuk pemain muda seperti de Ligt, adalah lebih baik United memandang kepada bakat dalam akademi mereka seperti Axel Tuanzebe ataupun Timothy Fosu-Mensah untuk menggantikan kombinasi "Raja Lawak", Phil Jones dan Chris Smalling.

Advertisement

Must Watch Video