Skip to main content

Rencana

Budak 15 tahun cetus sensasi

elliott-(1).jpg
Dalam tempoh hanya semalaman, nama Harvey Elliott menjadi sebutan di bibir peminat bola sepak Inggeris.

Pada usia 15 tahun dan 174 hari, Elliott yang berfungsi selaku pemain tengah menyerang, menempa sejarah selaku pemain termuda tampil dalam aksi Piala Liga Inggeris.

Dengan mengenakan jersi Fulham, Elliott masuk menggantikan Floyd Ayite pada minit ke-81 perlawanan Piala Carabao menentang Millwall kelmarin untuk membantu pasukannya meraih kemenangan 3-1.

Elliott juga adalah pemain pertama yang lahir pada 2003 untuk bermain dalam bola sepak Inggeris, tapi siapakah budak ini sebenarnya yang sepatutnya masih berada di bangku sekolah?

Produk kelahiran akademi remaja Fulham ini turut disertakan pengurus berbangsa Serbia, Slavisa Jokanovic, untuk latihan bercuaca panas di Sepanyol ketika tempoh rehat antarabangsa baru-baru ini.



Jokanovic tidak ragu-ragu untuk meramalkan Elliott sebagai bermasa depan cerah selepas kunjungan itu, namun ia tetap memeranjatkan untuk melihat namanya dalam senarai simpanan berdepan Millwall.

Joe Bryan memberikan Fulham gol pendahuluan awal sebelum Luca de la Torre menggandakan kelebihan mereka selepas rehat. Penyerang Millwall, Tom Elliott, merapatkan defisit, disusuli gol Cyrus Christie untuk Fulham kembali selesa dengan kelebihan 3-1.

Jokanovic memanfaatkan kelebihan itu untuk membawa masuk Elliott yang menggunakan tempoh kira-kira 10 minit yang tinggal dengan beberapa sentuhan menarik di bahagian sayap.

“Saya tidak tahu jika saya menggunakan perkataan yang silap dalam Bahasa Inggeris tapi dia sebenarnya angkuh dan positif.

“Budak ini menunjukkan personaliti apabila dia memberitahu saya: ‘Saya mahu tunjukkan anda saya seorang pemain yang sangat bagus.’ Saya katakan: ‘OK. Jika kamu boleh tunjukkan, saya berikan kamu peluang ini.’

“Dia telah menjalani beberapa latihan bersama kami. Kami percaya dia memiliki masa depan yang cerah,” katanya seperti dipetik akhbar Daily Star.

Jokanovic turut mendedahkan bahawa Elliott telah menduduki peperiksaan sekolahnya pada siang hari perlawanan itu.

“Dia tidak tahu dia mungkin bermain dan saya tidak mahu memberikannya sebarang masalah. Saya sekadar memberinya peluang untuk menguji kemampuannya di peringkat ini,” katanya.

Fulham kini tidak sabar untuk Elliott memberi komitmen jangka panjangnya kepada kelab itu, yang bagaimanapun harus menunggu sehingga dia genap 17 tahun sebelum boleh menandatangani sebarang perjanjian profesional. 

 

Advertisement

Must Watch Video